
Edmund Terence Gomez turut mempersoalkan proses pelantikan penggantinya.
Gomez meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) pada Disember selepas ia gagal membincangkan laporan mengenai dakwaan pemilikan meluas saham korporat membabitkan Azam, ketua pesuruhjaya SPRM.
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM “membersihkan” nama Azam, dengan pengerusinya, Abu Zahar Ujang berkata, Azam telah menjelaskan secukupnya mengenai pemilikan lebih dua juta saham itu.
Menurut Abu Zahar, LPPR berpuas hati dengan penjelasan itu dan telah menentukan bahawa Azam tidak mempunyai kepentingan kewangan dan tidak wujud konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.
Bagaimanapun, selepas itu, enam ahli LPPR lain mengeluarkan kenyataan akhbar bersama mempertikaikan apa yang dikatakan Abu Zahar. Mereka berkata, kenyataan itu bukan pendirian lembaga tetapi sekadar pandangan peribadinya.
Gomez berkata, setelah enam bulan berlalu, lembaga itu bekerja “seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku” walaupun wujud masalah antara Abu Zahar dan ahlinya yang lain.
“Memandangkan jelas wujud ketidaksefahaman antara Abu Zahar dan ahli lain, keenam-enam mereka sepatutnya meletak jawatan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya campur tangan untuk menyemak semula cara LPPR menangani situasi itu. Dengan tidak berbuat demikian, ia mencadangkan bahawa perdana menteri mengabaikan tugas, tambahnya.
“Apa yang sepatutnya perdana menteri dan Jemaah Menteri lakukan adalah memulakan siasatan bebas sebaik mengetahui tentang kontroversi itu pada Disember,” kata Gomez.
LPPR, katanya, ditubuhkan sebagai mekanisme semak dan imbang dan ia “jelas tidak berlaku” dalam perkara ini.
Beliau juga “sangat kecewa” dengan bagaimana kontroversi itu selesai, katanya.
“Kita ingat perubahan akan berlaku apabila protes semakin hangat, termasuk tunjuk perasaan awam,” katanya.
“Berat tekanan kepada perdana menteri untuk bertindak tegas dengan memulakan siasatan bebas dan membawa perubahan kepada SPRM.”
Katanya, pilihan raya negeri (PRN) Johor seolah-olah mengalihkan perhatian semua daripada kontroversi itu.
Merujuk kepada proses pemilihan penggantinya, Gomez berkata, beliau mendapat tahu bahawa “seseorang daripada SPRM” menghubungi seorang aktivis untuk menawarkan jawatan itu.
Katanya, pelantikan anggota panel perlu dilakukan oleh badan bebas, sambil menambah, tidak wajar bagi SPRM mempunyai suara mengenai siapa yang patut menganggotai panel itu.
Memandangkan perdana menteri yang melantik anggota panel, maka pejabatnyalah yang harus bertanggungjawab mengendalikan proses pemilihan, katanya.
“Ini jelas perlu disemak semula. Proses pemilihan bermasalah. Adakah anggota panel dapat benar-benar berfungsi sebagai semak dan imbang terhadap SPRM? Adakah mereka benar-benar bebas?”