Samirah, 2 remaja fail rayuan cabar penemuan dalam kes CEO Cradle Fund

Samirah, 2 remaja fail rayuan cabar penemuan dalam kes CEO Cradle Fund

Peguam Negara Idrus Harun mengesahkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap Samirah Muzaffar dan dua remaja yang dibebaskan dalam kes bunuh Nazrin Hassan.

Samirah Muzaffar dan dua remaja dibebaskan 21 Jun lalu, selepas hakim memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
PUTRAJAYA:
Samirah Muzaffar dan dua remaja yang dibebaskan dalam kes pembunuhan Nazrin Hassan memfailkan rayuan untuk mencabar penemuan fakta dalam kematian ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund itu.

Dalam notis rayuan mereka, Samirah dan dua remaja itu mempersoalkan penemuan Mahkamah Tinggi bahawa kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin pada 14 Jun 2018 “dilakukan dengan sengaja” selain isu kecederaan di kepala Nazrin.

Peguam mereka, Rahmat Mohamed Hazlan mengesahkan rayuan untuk mencabar dua penemuan itu difailkan hari ini.

Minggu lalu, Peguam Negara, Idrus Harun mengesahkan pihak pendakwaan sudah memfailkan rayuan terhadap pembebasan Samirah dan dua remaja lelaki itu pada akhir kes pendakwaan.

Pada 21 Jun lalu, hakim Mahkamah Tinggi, Ab Karim Ab Rahman memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tiga tertuduh itu.

“Tiada keterangan langsung bahawa mereka (Samirah dan dua remaja) melakukan kesalahan ini,” kata hakim itu.

Samirah, 47, bersama dua remaja yang kini berusia 16 dan 19 tahun itu, serta pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin di rumah mereka di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018.

Karim, dalam penghakiman lisannya berkata, mahkamah menerima keterangan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki serta pegawai penyiasat Halim Zulkefeli yang menyimpulkan kebakaran itu disengajakan.

Beliau turut merujuk keterangan ahli patologi kanan, Dr Siew Sheue Feng yang berkata, tiada kesan jelaga ditemui dalam paru-paru Nazrin.

Mengenai kecederaan di kepala Nazrin, Karim berkata, mahkamah menerima keterangan Dr Prashant Sanberker yang berkata, punca kematian Nazrin adalah akibat “berbilang hentakan objek tumpul di kepala”.

Prashant ialah ahli patologi kedua yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Nazrin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.