Pengilang sawit diberi amaran jangan henti operasi

Pengilang sawit diberi amaran jangan henti operasi

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Wee Jeck Seng, berkata pengilang boleh digantung lesen operasi sekiranya berbuat demikian.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengeluarkan surat peringatan kepada pengilang kekal beroperasi atau berdepan tindakan lesen digantung, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Wee Jeck Seng.
PETALING JAYA:
Pengilang sawit diberikan surat peringatan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) susulan tindakan menghentikan operasi berikutan kejatuhan mendadak harga minyak sawit.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Wee Jeck Seng, berkata pengilang boleh digantung lesen operasi sekiranya berbuat demikian.

Katanya, surat itu memberi peringatan kepada pengilang agar menjalankan aktiviti sektor pengilangan buah kelapa sawit dan pematuhan kepada keperluan perundangan mengikut Akta Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).

“Saya ingin memberi peringatan tegas berkaitan tindakan yang telah diambil oleh pengilang berkenaan sehingga menjadikan maksud asal lesen itu dikeluarkan tidak lagi wujud.

“Saya memandang serius perkara ini dan meminta supaya aktiviti memproses buah tandan segar (BTS) dan mengilang tidak akan terhenti, sebagaimana dinyatakan dalam lesen yang dikeluarkan bagi mengelak sebarang tindakan undang-undang,” katanya menurut laporan Bernama.

Terdahulu, beliau berkata, tindakan segelintir pengilang yang memberhentikan operasi sekali gus tidak membeli BTS secara tidak langsung mengganggu stok sedia ada dan memberi kesan negatif kepada pekebun kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.