
Beliau berkata, sejak mula lagi MPN tidak membuahkan hasil dan sekadar berfungsi sebagai penasihat kepada kerajaan.
“Fungsi ini sebenarnya boleh dan sedang dilakukan oleh badan-badan pemikir berkaliber seperti Khazanah Research Institute dan badan-badan pemikir lain yang selama ini telah lama bergiat aktif dalam memberi nasihat serta syor kepada kerajaan,” katanya
“MPN sudah gagal dan sudah tiba masanya untuk membubarkannya dengan memberikan kelapangan kepada kementerian-kementerian dan menteri-menteri daripada melayan dan menghadiri mesyuarat majlis yang tidak berkesan ini.”
Katanya lagi, MPN menjadi platform untuk bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menaikkan imej diri dan parti dan tidak semestinya bersuara bagi pihak rakyat dan kepentingan negara.
“Saya ingin menasihati Muhyiddin Yassin untuk menggunakan platform berlainan bagi menyumbang idea dan saranan sebagai mantan perdana menteri seperti menerusi Yayasan Kepimpinan Perdana bersama-sama (Dr Mahathir Mohamad). Itu lebih elok,” tambahnya.
Semalam diumumkan sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, pasukan itu berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu berkaitan inflasi, khususnya untuk mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.
Selain Annuar, pasukan itu dianggotai Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.
MPN ditubuhkan pada Julai 2021 bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19.