PAS Terengganu tak pernah tutup pintu untuk bekas pemimpin, ahli

PAS Terengganu tak pernah tutup pintu untuk bekas pemimpin, ahli

Setiausaha PAS Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata parti itu tidak pernah menutup pintu untuk menerima semula mereka sekiranya yakin dengan perjuangan PAS.

Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Khairuddin Aman Razali mampu membuat pertimbangan dan keputusan terbaik untuk dirinya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS Terengganu terbuka untuk menerima mana-mana bekas pemimpin dan ahli untuk kembali kepada parti termasuk Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali.

Setiausaha PAS Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, parti itu tidak pernah menutup pintu dan terbuka untuk menerima semula mereka sekiranya yakin dengan perjuangan PAS.

“Kita bersedia menerima sesiapa sahaja yang ingin bersama dengan PAS termasuk mereka yang keluar parti. Nak kembali kepada PAS kita sedia terima. Pintu PAS sentiasa terbuka,” katanya kepada FMT ketika ditanya sama ada ia sedia menerima bekas setiausaha Majlis Syura PAS itu kembali dalam parti.

Pada 14 Mac lalu, Khairuddin keluar daripada PAS dan mengisytiharkan dirinya wakil rakyat bebas beberapa bulan selepas digugurkan sebagai ahli Jawatankuasa Pusat parti itu.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa pengguguran itu dibuat atas sebab disiplin, namun tidak menghuraikannya.

Ditanya sama ada terdapat pemimpin PAS yang cuba memujuk Khairuddin, Wan Sukairi berkata, soal itu tidak timbul kerana parti sedar bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi berkenaan mampu membuat pertimbangan dan keputusan terbaik untuk dirinya.

“Isu pujuk memujuk tak timbul sebab beliau bukan orang biasa-biasa tetapi orang hebat dan berpengetahuan serta boleh membuat pertimbangan sendiri,” katanya.

Ketika mengumumkan keputusannya sebelum ini, Khairuddin enggan menyatakan sebab beliau berbuat demikian selepas menganggotai parti itu selama 33 tahun.

Khairuddin yang menyertai PAS ketika berusia 16 tahun berkata, beliau tetap “sayangkan” parti itu dan menyokong perjuangannya yang selaras dengan ajaran Islam.

Selain itu, Wan Sukairi menafikan bahawa bahawa tindakan itu memberi kesan kepada parti memandangkan ahli dididik untuk mengikut kepimpinan atau jemaah, bukannya individu.

“Orang PAS dididik sejak dulu untuk tidak mengikuti individu semata-mata tetapi perlu mengikut kepimpinan, perjuangan, ketua, ikut keputusan parti atau jemaah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.