Lagi rakyat Malaysia di Singapura ke tali gantung minggu depan

Lagi rakyat Malaysia di Singapura ke tali gantung minggu depan

Kalwant Singh disabitkan bersalah memiliki 60.15g diamorphine dan mengedar 120.9g dadah itu.

Kalwant Singh, 32, ditahan ketika berusia 23 tahun. (Gambar Twitter Kirsten Han)
PETALING JAYA:
Seorang lagi warga Malaysia dijadualkan menjalani hukuman mati di Singapura pada 7 Julai ini kerana mengedar dadah.

Kalwant Singh, 32, disabitkan bersalah memiliki 60.15g diamorphine dan mengedar 120.9g dadah itu.

Aktivis hak asasi Singapura, Kirsten Han menerusi catatan di Twitter berkata, Kalwant ditahan ketika berusia 23 tahun dan dipenjarakan sejak sembilan tahun lalu.

Katanya, kakak Kalwant, Sonia dan anak saudaranya, Kellvina cuba melawatnya awal bulan ini kerana tidak dapat bertemu sejak 2020 akibat pandemik Covid-19, selain faktor kewangan dan kesihatan, tetapi permintaan mereka ditolak.

“Apabila mereka akhirnya tiba di Singapura, mereka bertanya sama ada boleh membuat lawatan tambahan pada Selasa kerana lawatan untuk banduan hukuman mati biasanya pada Sabtu atau Isnin, tetapi (mereka) ditolak,” katanya sambil memetik video dimuat naik kumpulan reformasi Singapura, Transformative Justice Collective.

Rangkaian Anti-hukuman Mati Asia (Adpan) ketika mengulas notis pelaksanaan hukuman itu menyifatkan keghairahan Singapura meneruskan hukuman mati bagi kesalahan dadah “secara terang-terangan mengabaikan hak untuk perbicaraan adil”.

“Mahkamah perbicaraan dan Mahkamah Rayuan mendapati Kalwant dan tertuduh bersamanya sekadar menjadi penghantar,” katanya dalam kenyataan.

Namun katanya, tertuduh bersama itu diberikan Sijil Bantuan Substantif oleh polis dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 15 sebatan, manakala Kalwant dijatuhkan hukuman mati.

Adpan menggesa Singapura menghentikan hukuman mati yang dijadualkan itu, melaksanakan moratorium ke atas hukuman mati selanjutnya dan meminda undang-undangnya supaya dengan setaraf piawaian antarabangsa.

Sebelum ini, Nagaenthran K Dharmalingam juga dari Malaysia dihukum sampai mati pada 27 April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.