
ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) perlu ditambah dan harus mengambil kira saiz tanggungan serta kawasan didiami supaya lebih ramai rakyat dapat dibantu dalam menghadapi kos sara hidup yang “menggila”.
“Bayangkan isi rumah yang mempunyai pendapatan RM2,501 dan tiga anak hanya akan diberikan bantuan tambahan RM100 berserta BKM RM100 lagi pada bulan Jun. Adakah ini mencukupi?
“Bagaimana pula golongan M40 yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur yang berpendapatan RM5,001 dan mempunyai tiga anak? Mengikut logik kerajaan, isi rumah M40 ini tidak layak untuk menerima bantuan tunai. Apakah golongan M40 seperti ini harus dianaktirikan?
“Adalah tidak logik jika isi rumah di Kampung Baru, KL menerima bantuan RM100 sama seperti isi rumah di Marang, Terengganu. Ini adalah kerana impak inflasi berbeza mengikut lokaliti,” katanya dalam kenyataan.
Pengerusi Biro Pengguna Amanah itu turut meminta kerajaan mengkaji pengenalan sistem baucar makanan digital kepada B40 dan diperluaskan kepada isi rumah M40 bawahan.
Katanya, pengurusan fiskal negara yang lebih efisien tanpa ketirisan, termasuk memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan adalah penting.
“Namun usaha berkenaan sama sekali tidak boleh merampas hak golongan yang memerlukan.
“Apatah lagi dianggarkan lebih 600,000 orang golongan M40 tergelincir ke dalam kategori B40 sekarang.”
Pada 22 Jun lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan tunai di bawah BKM ditambah RM100 untuk isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang.
Menerusi fasa 1 BKM, isi rumah B40 menerima RM400, manakala bujang mendapat RM200 seorang.