
Semalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, ia tidak membantah cadangan penggabungan itu yang berpotensi mewujudkan pengendali perkhidmatan mudah alih terbesar negara, dengan Digi dan Celcom menawarkan aku janji untuk meredakan kebimbangan pengawal selia mengenai isu persaingan.
Antara yang penting adalah pelupusan terkumpul spektrum 70 MHz merentas 1800 MHz, 2100 MHz dan 2600 MHz kepada SKMM – dengan satu jalur akan dikembalikan dalam masa dua tahun dan dua jalur dalam tempoh tiga tahun.
“Sedikit penjelasan mengenai sebab jalur tertentu perlu dilupuskan dalam tempoh tiga tahun, dan bukan dua boleh membantu.

“Kebimbangan utama adalah berkaitan sama ada entiti yang bergabung akan dapat menempatkan diri sebagai pemain dominan yang tidak dapat dicabar dalam tempoh ini,” kata Shanthi Kandiah, yang bidang amalan guamannya termasuk pengawalseliaan media dan telekomunikasi.
Beliau berkata, walaupun terdapat duluan di negara lain yang menyaksikan jalur dilupuskan dalam tempoh tiga tahun, namun pelupusan juga boleh dilakukan dalam tempoh lebih singkat.
Menurut Shanthi, SKMM mempunyai tugas yang sukar untuk melihat “ke masa depan” dan meramalkan sama ada penggabungan itu akan mengurangkan persaingan dengan ketara.
Jika penggabungan itu diteruskan, maka syarikat yang bergabung – dikenali sebagai MergeCo – akan memiliki anggaran bahagian pasaran lebih 50%, iaitu hampir dua kali ganda daripada pemain terbesar berikutnya, iaitu Maxis.
“Oleh itu, persoalannya ialah sama ada dalam tempoh tiga tahun, ia (MergeCo) boleh menggunakan sinergi yang diterhasil daripada gabungan spektrum mereka untuk mempunyai kelebihan rangkaian, kelebihan harga dan perkhidmatan yang signifikan yang mungkin tidak dapat ditandingi oleh pihak lain.
“Apa yang kita mahu lihat di negara ini ialah kewujudan gelanggang yang sama rata bagi membolehkan persaingan aktif dalam pasaran,” katanya.
Walaupun menyifatkan aku janji untuk mengasingkan perniagaan borong pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) daripada perniagaan runcit sebagai “penyelesaian yang menarik”, beliau tidak pasti bagaimana ini akan memberi insentif kepada MergeCo untuk bersaing secara langsung dengan MVNO kerana kedua-dua unit ini akan melaporkan kepada CEO yang sama.
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya dalam aku janji, MergeCo perlu menubuhkan unit perniagaan borong MVNO bebas yang berasingan dan memastikan pemisahan daripada perniagaan mudah alih runcit MergeCo dalam tempoh enam bulan selepas penggabungan selesai.
SKMM mentakrifkan MVNO sebagai penjual semula yang tidak memiliki sebarang infrastruktur rangkaian tanpa wayar. Sebaliknya, mereka membeli perkhidmatan komunikasi tanpa wayar pada kadar borong daripada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dan menjual semula langganan kepada pengguna melalui penjenamaan mereka sendiri dan perkhidmatan nilai tambah lain.
MergeCo juga perlu memastikan penetapan harga yang adil, pengenalan pengehadan harga, penyingkiran atau pengecualian mana-mana perjanjian “lock-in” berkontrak dan pelaksanaan dasar penggunaan yang adil untuk memastikan sebarang penggunaan berlebihan oleh MVNO dicaj secara adil.
Ini perlu dilakukan dalam tempoh tiga tahun selepas penggabungan selesai.