
Beliau dalam pada itu juga berkata, pengunduran daripada Umno dan penyertaan dalam Bersatu bukanlah untuk mengelak daripada disiasat pihak berkuasa.
“Saya merujuk kepada laporan media mengenai perbicaraan di Mahkamah Tinggi membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi yang membuat kenyataan saya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan pada masa itu, menyeleweng peruntukan kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan sebelum PRU14.
“Saya menafikan kenyataan Ahmad Zahid itu, malah penyertaan saya dalam Bersatu bukan untuk mengelak siasatan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapa berkata, dana itu diuruskan jawatankuasa berkenaan di peringkat Badan Perhubungan dan ia diuruskan mengikut garis panduan oleh parti sendiri termasuklah untuk pilihan raya.
Beliau juga menyifatkan tuduhan tersebut berniat untuk mencemarkan reputasinya sebagai ahli Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen, selain berkata penyertaannya dalam Bersatu tidak mendapat gesaan mana-mana pihak, malah beliau bersedia memberi kerjasama jika diperlukan.
“Saya tidak pernah menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk menyertai Bersatu, saya bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, selepas PRU14, beliau dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sebanyak dua kali iaitu pada akhir 2018 dan awal tahun 2019.
“Saya dipanggil memberi keterangan mengenai perkara berikut iaitu sebagai bekas ahli Jemaah Menteri, saya diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan minit Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai projek Trans Sabah Gas Pipeline.
“Selain itu, sebagai bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, saya memberi keterangan kepada Polis berkaitan dana dimasukkan dalam akaun Badan Perhubungan Umno Kelantan yang didakwa diperoleh daripada sumber 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin yang turut dikaitkan dalam perbicaraan Zahid seperti dilaporkan media turut tampil membuat penafian sambil memaklumkan setiap dana yang dimaksudkan telah diagihkan seperti yang ditetapkan Umno termasuk bagi menghadapi pilihan raya.
“Tuduhan yang sama telah pun saya jawab ketika PRN Melaka tempoh hari apabila ada wartawan yang mengajukan soalan yang sama pada saya dan juga sebelum ini dalam kes yang difailkan terhadap saya oleh pucuk pimpinan Umno yang kemudiannya telah ditarikbalik.
“Saya keluar Umno secara rasmi pada 1 Julai 2018, selepas memikirkan saya hanya mampu berkhidmat kepada rakyat Masjid Tanah dengan lebih baik sekiranya saya bersama dengan kerajaan semasa bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tuduhan itu juga tidak berasas yang secara tidak langsung mendatangkan persepsi buruk di mata masyarakat dan pengundi-pengundi serta boleh merosakkan imej serta reputasinya sebagai pemimpin parti dan ahli kabinet yang sedang berkhidmat.
Terdahulu media melaporkan, Zahid mendedahkan di mahkamah terdapat lima ahli Parlimen Umno yang melompat parti dan menyertai Bersatu menyeleweng jutaan ringgit dana parti itu.
Pendedahan itu dibuat semasa prosiding pembelaan kes rasuah Yayasan Akalbudi yang sedang dihadapinya ketika ini.
Zahid mendakwa, beliau bukan sahaja mempunyai pengetahuan sebaliknya ada bukti tentang penyelewengan dana Umno yang telah diamanahkan kepada beberapa pemimpin yang bertanding di kerusi Parlimen mewakili Umno pada PRU14.