Pil yaba RM2.52 juta dirampas, 3 lelaki ditahan

Pil yaba RM2.52 juta dirampas, 3 lelaki ditahan

Penahanan tiga suspek berusia 27 dan 33 tahun dilakukan selepas polis menyerbu rumah dan kedai makan di Kota Bharu dan Bachok dan menemui 252,000 biji pil yaba.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, pil yaba itu ditemui dalam bungkusan plastik dipercayai untuk pasaran seluruh negeri itu.
PETALING JAYA:
Tiga lelaki ditahan selepas polis menemui 252,000 biji pil yaba bernilai RM2.52 juta dalam serbuan di Kota Bharu dan Bachok, Kelantan, Isnin lalu.

Serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir sebuah kedai makan di Kampung Jelujok Banggu, Kota Bharu pada 3 petang sekali gus membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 33 tahun.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum penahanan itu, dua suspek menaiki kereta Honda Jazz sedang berurusan dengan seorang lelaki.

“Anggota polis kemudian mendekati suspek dan pemeriksaan menemui satu kotak berisi 14 bungkus plastik mengandungi 84,000 pil.

“Pemeriksaan awal mendapati bungkusan pil tersebut dipercayai untuk pasaran seluruh Kelantan,” katanya menurut laporan Bernama.

Muhamad Zaki berkata, susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Takang dekat Tawang di Bachok dan menemui 168,000 lagi pil yaba bernilai RM1.68 juta.

“Semua pil berkenaan ditemui dalam kotak yang diletakkan atas kabinet dapur rumah,” katanya selain memaklumkan bahawa ujian air kencing mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah jenis methampethamine.

Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula 28 Jun sehingga 4 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.