
Iskandar Hasan Tan Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan berkata, langkah itu juga dibuat sebagai usaha parti itu mengimbangi isu yang dimainkan pihak lawan khususnya Amanah untuk mengancam kedudukan negeri yang ditadbir PAS.
“Situasi yang berlaku hari ini mencerminkan banyak isu tidak puas hati atas pengurusan pentadbiran negeri telah dibangkitkan oleh parti Amanah. Malah persepsi politik rasional yang digunakan Amanah ke atas bekas pengikut Nik Abdul Aziz Nik Mat sedikit sebanyak menggugat sokongan pengundi putih PAS.
“Kemenangan PAS pada PRU14 sedikit sebanyak disumbangkan oleh golongan yang setia dengan perjuangan Nik Aziz. Ini boleh dilihat sejak akhir-akhir ini yang menyaksikan golongan reformis dalam PAS yang menang dalam pemilihan tahun ini kelihatan kurang baik hubungan dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN),” katanya kepada FMT merujuk kepada pendukung Nik Aziz yang menolak kerjasama dengan Umno.

Tambahnya, impaknya kini golongan reformasi PAS terpaksa kembali kepada sokongan asas yang diperolehi menerusi pengundi putih, yang sebahagian besarnya masih setia dengan slogan perjuangan Nik Aziz.
Katanya, tindakan PAS yang berhasrat untuk tidak menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) khususnya di negeri kubu bukan bermakna ia tidak yakin kepada gabungan itu, sebaliknya sebagai usaha mengelak pengundi atas pagar lari, termasuk menyokong Umno.
Katanya, melihat kepada beberapa isu yang gagal ditangani kerajaan negeri pimpinan PAS, tidak mustahil pengundi kelabu yang menyokong parti itu tidak lagi mengundinya dalam pilihan raya akan datang.
“Andai ini berlaku, kedudukan PAS di tiga negeri tersebut kelihatan lemah dan bergoyang. Apa yang dirisaukan kini adalah kemungkinan PAS mendapat majoriti tipis dalam pembentukan kerajaan negeri dalam PRU15 ini jika berlakunya peralihan angin sokongan.

“Inilah sebabnya PAS ingin mengekalkan logo bulan, bukan PN bagi mengelakkan sebarang risiko negatif jika logo PN digunakan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis keselamatan dan politik dari UiTM, Noor Nirwandy Mat Noordin berpandangan, tindakan PAS yang bersedia menggunakan logo tradisi ‘bulan’ atau lambang Perikatan Nasional (PN) mengambil kira kesesuaian negeri sebagai strategi menarik untuk meningkatkan sokongan pengundi.
“Ini strategi politik yang berlaku sekarang dalam keadaan ketidakstabilan politik, tetapi masing-masing parti membuat percaturan,” katanya.
Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Md Nor sebelum ini berkata parti itu bersedia menggunakan logo tradisi ‘bulan’ atau lambang PN mengambil kira kesesuaian negeri dan faktor psikologi pengundi, tetapi ia akan dimuktamadkan oleh pimpinan parti, termasuk dibincangkan di peringkat gabungan PN.