
Meremehkan laporan mengenai kematian di pusat-pusat seperti itu di Sabah yang dikeluarkan oleh sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia, Hamzah berkata, beliau tidak dapat meramalkan kematian itu dan menambah, “kadang-kadang orang tengah berjalan boleh mati”.
“Kenyataan mengarut Hamzah, terutamanya apabila menangani isu berkaitan warga asing, gagal mencetuskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kerajaan kita mengenai perkara berkaitan hak asasi manusia,” kata Ramkarpal.
“Tidakkah Hamzah sedar bahawa intipati kebimbangan dalam laporan itu bukan mengenai ‘meramalkan’ kematian, tetapi mengenai keadaan yang mengejutkan di pusat tahanan,” kata pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP itu.
Ramkarpal berkata, berbanding membuat “kenyataan mengarut”, Hamzah sepatutnya meneliti kebimbangan yang dibangkitkan dalam laporan itu dan memberi jaminan bahawa kerajaan komited untuk memperbaiki keadaan di pusat berkenaan.
Sabtu lepas, sebuah kumpulan NGO Indonesia, Koalisi Buruh Migran Berdaulat (KBMB) mengeluarkan laporan yang menyatakan bahawa kedutaan Malaysia di Jakarta merekodkan kematian 149 warga Indonesia di lima pusat tahanan di Sabah dalam tempoh 18 bulan antara 2021 dan 2022.
Menurut laporan itu, keadaan yang teruk di pusat terbabit menyebabkan kesihatan tahanan merosot dan mereka tidak dirujuk ke hospital apabila jatuh sakit.
Sementara itu, Ketua Biro Undang-Undang Pemuda PKR Lau Yi Leong menggesa Hamzah meletak jawatan berhubung kenyataannya yang disifatkan sebagai “amat mengejutkan” itu.
Menyatakan bahawa Hamzah seolah-olah membayangkan bahawa kematian dalam tahanan adalah “kejadian biasa” di luar kawalan kerajaan, beliau berkata, laporan KBMB itu mewajarkan siasatan menyeluruh tentang layanan terhadap individu dalam tahanan.
“Sebarang kematian dalam tahanan sepatutnya menimbulkan kebimbangan,” katanya dalam kenyataan.
“Jika kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob masih percaya dengan hak asasi manusia, saya menyeru (beliau) supaya segera memecat Hamzah Zainudin sebagai menteri dalam negeri,” kata Lau.
Beliau turut menggesa Ismail menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat keadaan di pusat tahanan imigresen dengan mendakwa wujud amalan rasuah yang berleluasa dalam jabatan itu dan peningkatan jumlah kematian di pusat tahanan.