
Dalam kenyataan, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee berkata, mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen/biji bagi gred A, B (0.43 sen/biji) dan C (0.41 sen/biji) di Semenanjung.
“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam, sebaliknya meneruskan subsidi.
“Keputusan ini juga telah mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40,” katanya
Pada 24 Jun, Ismail mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.
Sehari selepas itu, perdana menteri berkata, keputusan berhubung harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan bukan tindakan ‘U-turn’ atau pusingan U kerajaan.
Katanya, sebaliknya, keputusan dibuat bagi memenuhi hasrat dan memberikan kebaikan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Ronald berkata, seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 tahun ini.
Katanya, bantuan itu adalah tertinggi yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.
“Dengan pelaksanaan subsidi ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Feb lalu.
“Isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja, sebaliknya merupakan fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim,” katanya.
Bagaimanapun Ronald berkata, kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup.