Buat sistem giliran untuk doktor khidmat di luar bandar, kata MMA

Buat sistem giliran untuk doktor khidmat di luar bandar, kata MMA

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata pihaknya bersetuju terdapat kekurangan kerana ramai yang masih enggan berkhidmat di luar bandar.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, sistem penempatan doktor baharu memerlukan rombakan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Doktor mesti bersedia untuk berkhidmat di kawasan luar bandar, terutamanya di Sabah dan Sarawak tetapi ia perlu dilakukan secara bergilir-gilir, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata, MMA tetap dengan keputusan bahawa penempatan harus bertujuan untuk mengisi jawatan dalam perkhidmatan di mana ia paling diperlukan.

Beliau berkata, dengan sistem penggiliran, doktor yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak untuk tempoh tertentu tidak perlu menunggu pengganti sebelum dibenarkan dihantar pulang ke Semenanjung.

“Kami bersetuju ada kekurangan dan ini kerana ramai yang masih enggan berkhidmat di luar bandar,” katanya.

“Bagi mengatasinya perlu ada sistem penggiliran dan semua orang boleh berkhidmat di kawasan luar bandar.

“Insentif harus diberikan kepada mereka yang berkhidmat ke luar bandar tetapi infrastruktur perlu diperbaiki. Keseluruhan sistem penempatan memerlukan rombakan.”

Beliau berkata, terdapat percanggahan dalam bilangan doktor di Semenanjung dan Malaysia Timur.

Koh mengulas laporan FMT minggu lalu bahawa doktor kontrak yang ditemu duga untuk dilantik sebagai pegawai perubatan tetap telah ditanya soalan biasa, iaitu sama ada mereka bersedia untuk berkhidmat di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak sekiranya terpilih.

Sebahagian daripada mereka diberitahu bahawa jawapan itu akan direkodkan untuk mengelakkan calon yang berjaya merayu selepas ditawarkan jawatan, iaitu sesuatu yang sering berlaku pada masa lalu.

Ditanya sama ada doktor harus mempertimbangkan untuk berkhidmat di kawasan terpencil sebagai satu bentuk perkhidmatan negara, Koh berkata, itu bukan soalnya.

“Tiada hari dalam kehidupan doktor di tempat kerja yang tidak berkhidmat untuk negara. Perkhidmatan penjagaan kesihatan harus sama rata, sama ada di bandar atau luar bandar.

“Malah ada yang berkata bahawa berkhidmat di luar bandar telah meningkatkan kemahiran mereka berbanding bekerja di hospital yang terlalu sesak,” katanya.

Bagi mereka yang merayu selepas ditempatkan ke Malaysia Timur, Koh berkata, permintaan seperti itu harus diberikan kepada mereka yang telah berkahwin, khususnya pasangan yang mempunyai anak.

Beliau berkata, mesti ada keseimbangan antara kerja dan kehidupan kerana tanpanya kesihatan mental doktor akan merosot.

“Bagaimana kita boleh mengharapkan mereka gembira di tempat kerja apabila terpisah jauh dengan orang tersayang? Insentif harus disediakan dan diperluaskan kepada keluarga juga.

“Proses penempatan mesti memudahkan pasangan sekiranya mereka dalam perkhidmatan kerajaan. Ini harus disegerakan kerana kadangkala ia mengambil masa sehingga satu tahun untuk diluluskan,” katanya.

Difahamkan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Kementerian Kesihatan kini di peringkat akhir untuk melengkapkan proses temu duga 6,000 doktor kontrak yang memohon untuk diserapkan secara tetap dalam perkhidmatan awam.

Pada Februari, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa seramai 4,186 petugas kesihatan kontrak akan diserapkan secara tetap bermula Jun.

Beliau berkata, ia terdiri daripada 3,586 pegawai perubatan, 300 doktor gigi dan 300 ahli farmasi.

Pada 2020, menteri kesihatan ketika itu, Dr Adham Baba berkata, ia tidak menyenaraikan kerja di kawasan pedalaman atau luar bandar sebagai kriteria untuk doktor, doktor gigi dan ahli farmasi kerajaan untuk dipertimbangkan bagi jawatan tetap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.