Wanita, pelajar boleh bekerja waktu fleksibel, kata bekas menteri

Wanita, pelajar boleh bekerja waktu fleksibel, kata bekas menteri

Dr S Subramaniam berkata, ada ramai tenaga buruh yang tidak dapat bekerja sepenuh masa, seperti wanita dan pelajar universiti.

Bekas menteri sumber manusia, Dr S Subramaniam bersama Najib Razak, iaitu bos lamanya dalam Jemaah Menteri semasa menghadiri satu majlis makan malam di Kuala Lumpur malam tadi.
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri sumber manusia berkata, majikan patut terbuka kepada aturan waktu kerja fleksibel dengan memanfaatkan sebahagian besar tenaga buruh yang diabaikan.

Dr S Subramaniam berkata, ada ramai tenaga buruh yang tidak dapat bekerja sepenuh masa seperti wanita dan pelajar universiti.

“Majikan perlu mengubah cara pemikiran mereka dan memanfaatkan tenaga buruh ini, khasnya dalam keadaan kekurangan buruh yang dihadapi negara.”

Katanya, rangka kerja perundangan sudah wujud di bawah Akta Pekerjaan dan Akta Keselamatan Sosial Pekerja dengan peruntukan yang mencukupi mengenai cara membayar pekerja berdasarkan aturan kerja fleksibel.

“Semuanya ada. Ia mungkin memerlukan majikan menyusun semula operasi kerja mereka, tetapi tiada sebab ia tidak boleh dilakukan,” katanya selain menambah bahawa contoh dari negara lain boleh dipertimbangkan.

Pindaan Akta Pekerjaan 1955 yang berkuat kuasa 1 Sept akan membolehkan pekerja memohon untuk bekerja mengikut aturan waktu kerja fleksibel.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata, isu buruh paksa perlu diselesaikan secepat mungkin.

“Malaysia bukan satu-satunya pilihan buat pekerja ini. Penting untuk menguatkuasakan budaya mematuhi peraturan ini dan hak pekerja asing atau domestik terus dipelihara.”

Subramaniam, yang merupakan bekas presiden MIC dan menteri sumber manusia dalam Jemaah Menteri pimpinan bekas perdana menteri, Najib Razak bercakap kepada media selepas satu majlis makan malam sempena pengurniaan gelaran Tan Sri kepadanya.

Najib, yang turut menghadiri majlis makan malam itu berkata, lebih banyak usaha dilakukan untuk masyarakat India ketika beliau menjadi perdana menteri berbanding “seseorang yang memegang jawatan selama 22 tahun”, iaitu merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.