
Mohd Zawahid Ya, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
Dia didakwa sebagai peguam di Tetuan Mohd Zawahid & Co yang diamanahkan dengan wang berjumlah RM1.52 juta, telah melakukan pecah amanah terhadap harta berkenaan di pejabat firma tersebut di Subang Bestari, dekat sini, antara 9 Mei dan 11 Ogos 2017.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Uzair Abd Munir memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana melibatkan jumlah wang yang besar.
Peguam Fahmi Abd Moin bersama Azizzul Shariman Mat Yuoff dan Ilyani Khuzairi yang mewakili Zawahid memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh menanggung ibu bapa, isteri serta lima anak yang masih bersekolah selain tiga daripada mereka sedang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi (IPT).
Hakim Helina Sulaiman kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan, iaitu tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh kemudian membayar ikat jamin tersebut.