Mohamaddin ‘gelojoh’ kejar kedudukan, kata pemimpin Bersatu

Mohamaddin ‘gelojoh’ kejar kedudukan, kata pemimpin Bersatu

Ketua Bersatu Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata semua ahli parti perlu bermula dari awal dan perlu bersabar mencapai kedudukan lebih baik.

Ketua Bersatu Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub, berkata Mohamaddin Ketapi patut bersabar memandangkan ramai lagi individu dalam parti itu belum diberi tempat.
PETALING JAYA:
Tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi keluar Bersatu disifatkan perbuatan “gelojoh” kerana mengejar kedudukan dalam parti.

Ketua Bersatu Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub, berkata semua ahli harus bermula dari awal serta bersabar untuk mencapai kedudukan lebih baik.

Katanya, ia memandangkan ramai lagi individu dalam Bersatu belum diberi tempat, tetapi mereka tetap kekal dengan prinsip perjuangan parti.

“Bagi saya sebenarnya Bersatu pun baharu dan saya sendiri masih baharu dalam parti. Kita mulakan daripada awal dan suatu hari nanti akan sampai masanya untuk ditempatkan di kedudukan yang lebih baik dari sekarang.

“Kalau dari peringkat awal sudah memikirkan jawatan atau kedudukan dalam Bersatu, mungkin saya boleh cakap gelojoh,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Terdahulu, Mohamaddin mengumumkan keluar Bersatu kerana tidak diberi peranan seperti dijanjikan untuk memperkukuhkan parti berkenaan sebelum ini.

Beliau yang juga ADUN Segama turut mendakwa dijanjikan peranan memimpin parti di Parlimen Lahad Datu dan Segama, namun selepas lebih enam bulan, ia tidak seperti dijanjikan.

Dalam pada itu, berhubung kesediaan Warisan bekerjasama dengan pihak yang menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Yadzil menyifatkan Warisan sebagai kelompok tidak berprinsip.

Beliau yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, berkata kenyataan Presiden Warisan Shafie Apdal jelas menunjukkan parti berpusat di Sabah itu sanggup menjual diri kepada sesiapa sahaja, asalkan diberi ruang dan peluang untuk memegang jawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.