
Mohd Khalid Omar, 40, berkata tindakan itu dibuat bagi memberi pengajaran supaya semua pihak lebih bertanggungjawab dan kejadian menimpa anaknya tidak berulang.
Katanya, longgokan peralatan pembinaan seperti pelampung dan besi jeti yang ditinggalkan di padang permainan itu sejak empat tahun menjadikan tempat serangga itu bersarang.
“Saya dan keluarga terfikir untuk ambil tindakan kerana tidak sepatutnya benda itu ada di kawasan permainan kanak-kanak dan ditinggalkan sejak sekian lama di situ.
“Tindakan ini perlu diambil supaya semua orang prihatin mengenai keselamatan kawasan permainan kanak-kanak dan sentiasa menyelenggaranya dengan baik,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Katanya, setakat ini bomba bertindak memusnahkan sarang tebuan itu bagi memastikan ia tidak mengancam penduduk setempat.
Namun, dia agak kesal kerana belum ada tindakan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan longgokan barangan yang ditinggalkan.
Mengulas perkembangan dua lagi anaknya yang masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Khalid berkata, keduanya masih belum pulih sepenuhya.
“Kedua-duanya masih dirawat dan dalam pemerhatian rapi pihak hospital namun dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.
Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut akibat disengat tebuan ketika bermain bersama dua kakaknya di taman permainan berhampiran rumah datuknya di Kampung Tok Jembal.
Eidrish Mohd Khalid yang disengat kira-kira 60 tebuan disahkan meninggal dunia pada 11.20 malam di HSNZ.
Dua kakaknya, Nur Adelia Qaisara, 10, dan Nur Aiyris Dania, 7, yang turut disengat haiwan berbisa itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ.