SD sokong Anwar jadi PM, Tajuddin jaja ‘cerita lapuk’ bila hilang jawatan, kata Razlan

SD sokong Anwar jadi PM, Tajuddin jaja ‘cerita lapuk’ bila hilang jawatan, kata Razlan

Ahli MKT Umno itu berkata pendedahan Tajuddin Abdul Rahman itu hampir sama apa dikatakan Annuar Musa sebelum ini, namun Umno masih mampu menang pada PRN Melaka dan Johor.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Muhamad Rafi, menggambarkan kenyataan Tajuddin Abdul Rahman sebagai “cakap orang hilang jawatan” selepas digugurkan sebagai ahli MKT, baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menyifatkan pendedahan Tajuddin Abdul Rahman berhubung akuan berkanun (SD) menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sebagai “cerita lapuk”.

Razlan Muhammad Rafi berkata, apa yang dikatakan Ahli Parlimen Pasir Salak itu merupakan “benda sama” yang pernah didedahkan bekas setiausaha agung parti, Annuar Musa.

Beliau berkata, pendedahan seperti itu langsung tidak melemahkan Umno dan ia telah dibuktikan menerusi pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Johor, walaupun isu sama dimainkan sebelum ini.

“Cakap orang hilang jawatan ini memang banyak benda dia boleh bercakap, tetapi Umno sebenarnya tetap bersatu. Kalau nak ikutkan cerita itu pun sudah lapuk, terlampau lama, selepas cerita itu kita menikmati banyak kejayaan PRK, PRN, Umno kena ke hadapan…jadi perkara picisan tak perlu dilayan.

“Kita hadapi benda sama yang dibawa Annuar Musa dulu, jadi Umno terus bergerak ia tak jejaskan parti dan mengelirukan ahli, buktinya Umno berjaya memenangi pelbagai pilihan raya walaupun pendedahan dibuat (Umno sokong Anwar jadi PM),” katanya kepada FMT dengan memberi contoh isu sama didedahkan Annuar pada Jan tahun lalu.

Beliau mengulas pendedahan Tajuddin yang juga bekas ahli MKT, bahawa beliau saksi Umno menghantar SD menyokong Anwar sebagai perdana menteri kepada Agong.

Pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel, Tajuddin berkata, SD yang diuar-uarkan itu memang wujud meski pun pemimpin Umno melaungkan “No DAP, No Anwar”.

Beliau turut mendakwa sebelum ini hampir 130 ketua bahagian Umno mahu presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi berundur.

Tajuddin juga mendesak Zahid menyerahkan tampuk kepimpinan parti kepada Ismail Sabri Yaakob apabila mendakwa presidennya itu tidak mampu menjaga Umno ketika berdepan kes mahkamah.

Mengulas desakan Tajuddin supaya Zahid melepaskan jawatan presiden kepada Ismail, Razlan berkata, Umno mempunyai perlembagaan dan berdasarkan kedudukan dalam parti, timbalan presiden akan mengalas jawatan itu, bukannya Ismail.

“Beliau cadang lantik Ismail, bukan kita tak setuju tetapi kena tahu Umno ini parti ada perlembagaan, kalau pemimpin nombor satu tidak ada ia akan digalas pemimpin nombor dua, timbalan presiden. Saya tak faham apa tujuan beliau bangkitkan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata, Tajuddin sebagai orang lama yang menikmati kejayaan dalam politik patut melihat jasa parti kepadanya.

“Jadi, kembalilah kepada asas kesatuan parti dan kita nak menang PRU sepatutnya mereka kena tunjuk contoh baik taat kepada parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.