“Saya nak selamatkan parti, sebab itu sokong Anwar jadi PM,” kata Nazri

“Saya nak selamatkan parti, sebab itu sokong Anwar jadi PM,” kata Nazri

Ahi Parlimen Padang Rengas itu berkata, tindakan menyokong Anwar Ibrahim dibuat bagi menyelamatkan Umno daripada dibubarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Nazri Aziz mendakwa, Dr Mahathir Mohamad nekad mahu membubarkan Umno ketika menjadi perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH).
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz mengesahkan beliau pernah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Beliau berkata, tindakan tersebut dibuat bagi menyelamatkan Umno daripada dibubarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Nazri mendakwa semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri PH, Ahli Parlimen Langkawi itu bertekad mahu membubarkan Umno.

Katanya, disebabkan itu, beliau perlu mencari jalan untuk menyelamatkan parti tersebut.

“Peluang saya ketika itu adalah Anwar yang sepatutnya diserahkan kuasa oleh Mahathir untuk menjadi perdana menteri selepas dua tahun. Jadi, saya pergi jumpa Anwar untuk meminta agar kerajaan tidak membubarkan Umno.

“Saya gembira apabila dia berkata: “Umno itu parti Pak Ibrahim (bapa Anwar), maka aku tak akan bubar”.

“Justeru apabila Umno nak menarik balik sokongan daripada Muhyiddin (Yassin), saya segera berbincang dengan Ahli Parlimen Umno yang lain untuk menandatangani SD menyokong Anwar,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Untuk rekod, pada 23 Sept 2020, Anwar mengadakan sidang media tergempar dan mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk menjadi perdana menteri baru menggantikan Muhyiddin.

Anwar kemudian diperkenan mengadap Agong pada 13 Okt dan mempersembahkan dokumen yang didakwa mengandungi butiran sokongan majoriti Ahli Parlimen yang diperlukan.

Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Anwar tidak mempersembahkan senarai nama Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Ditanya sikap ahli parlimen lain yang tidak mengambil langkah sama, Nazri berkata: “Yang lain semua penakut”.

“Fikir pasal kedudukan, jawatan dan kepentingan sendiri. Saya pula fikir pasal kepentingan dan setia kepada parti.

“Saya nak selamatkan parti saya. Sebab itu saya sokong Anwar. Setia kepada parti. Itu yang paling penting bagi saya,” katanya.

Beliau mengulas pendedahan Tajuddin Abdul Rahman yang juga bekas ahli MKT, bahawa beliau saksi Umno menghantar SD menyokong Anwar sebagai perdana menteri kepada Agong.

Pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel, Tajuddin berkata, SD yang diuar-uarkan itu memang wujud meski pun pemimpin Umno melaungkan “No DAP, No Anwar”.

Beliau turut mendakwa sebelum ini, hampir 130 ketua bahagian Umno mahu presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi berundur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.