
Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) berkata, ia perlu bagi mengurangkan tempoh menunggu dalam mendapatkan ubat-ubatan dan memastikan kecekapan ketika berlaku kekurangan bekalan.
Ia turut menggesa supaya kapasiti pengeluaran ubat tempatan dipertingkatkan kerana Malaysia adalah pengimport bersih produk farmaseutikal siap, bahan farmaseutikal aktif dan perantaraan farmaseutikal untuk pembuatan tempatan.
Disebabkan gangguan rantaian bekalan global produk farmaseutikal katanya, kapasiti pembuatan tempatan perlu diperkukuhkan bagi mengurangkan kesan gangguan pada masa depan.
“Ini mesti disertakan dengan amalan pengilangan yang baik untuk memastikan semua ubat tempatan memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan yang diperlukan sejajar Dasar Perubatan Kebangsaan.
“Kerajaan mesti menyediakan dasar, cukai dan iklim kawal selia yang menggalakkan untuk pelaburan swasta dalam sektor ini,” katanya dalam kenyataan.
MHC memuji langkah Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan pinjaman stok ubat kepada kemudahan kesihatan swasta dan berharap kerjasama awam-swasta itu terus digalakkan demi manfaat pesakit.
“KKM mesti memimpin dan menyelaras proses pengumpulan data penggunaan ubat untuk menambah baik strategi perolehan ubat semasa dan mengutamakan pengagihan ubat kepada kemudahan kesihatan dengan permintaan lebih tinggi.”
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kekurangan ubat itu kebanyakannya membabitkan antibiotik, ubat pediatrik, ubat batuk serta ubat merawat keracunan makanan, demam dan selesema biasa.