
Presidennya, Damien Thanam Divean berkata, longgokan sampah di kawasan yang tidak sepatutnya itu mungkin bermula daripada sikap kontraktor pembersihan yang berkemungkinan tidak berlesen.
Katanya, sampah itu juga mungkin dikutip dari kawasan perniagaan dan petempatan yang tidak membayar cukai pintu kepada PBT.
Beliau berkata, mereka pasti mengharapkan kontraktor haram membuka kawasan atau tapak baharu untuk membuang sampah tersebut.
“Oleh itu, PBT gagal kerana penguatkuasaan yang lemah atau lebih merisaukan jika PBT bersekongkol dengan kontraktor (haram) ini menerima rasuah untuk tidak mengendahkan aktiviti seperti itu.
“Sepatutnya PBT perlu bertanggungjawab memantau kawasan perniagaan dan petempatan, terutama yang tidak mendapat kelulusan PBT,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengesan 432 tapak pembuangan sampah haram di Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pengerusi SWCorp, Rizalman Mokhtar berkata, 163 daripada tapak itu masih aktif menjadi tempat pembuangan sampah walaupun sudah ditutup oleh pihak berkuasa selain sikap masyarakat yang tidak menjadi antara punca masalah pengurusan sampah di negara ini.
Katanya, jumlah sisa pepejal yang dijana di negara ini tahun lalu adalah sebanyak 38,318 tan sehari dengan anggaran 1.17kg penjanaan sisa pepejal oleh setiap individu di negara ini.
Damien percaya akta dan hukuman sedia ada tidak setimpal dengan kesalahan membuang sampah merata-rata dan oleh itu PBT sepatutnya lebih tegas bagi mengelakkan perkara sama berulang.
“Sebagai contoh, seorang kontraktor yang ditangkap membuang sampah di kawasan kolam belakang di Plaza Tol Batu 3 Shah Alam hanya dikompaun RM1,000 sahaja sedangkan kita tidak tahu berapa kali lori kontraktor itu pergi ke kawasan tersebut untuk membuang sampah secara haram.
“PBT patut tegas dengan mengambil alih aset seperti kenderaan kontraktor, membawa tuan tanah ke mahkamah dan menyaman semua pihak terlibat untuk membayar kos pembersihan kawasan terjejas itu.”