
Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi memaklumkan bahawa laluan di kedua-dua arah Lebuhraya KLK akan ditutup sepenuhnya dari KM55.35 hingga KM55.85 (Lentang) bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
Selepas 11.30 malam, beliau berkata, hanya laluan lorong kiri akan dibuka di kedua-dua arah kepada pengguna dan pihaknya menjangkakan laluan dibuka sepenuhnya dari semua arah pada 5 pagi Selasa.
“Penutupan ini bertujuan memudahkan laluan jentera berat yang terlibat dengan pembinaan terowong ECRL di Genting. ANIH Berhad ingin menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan dan jika perlu, mempercepatkan atau menangguhkan perjalanan mereka,” katanya menerusi kenyataan media.
Selain itu, pengguna juga diingatkan agar memandu secara berhemah dan mematuhi arahan petugas di lokasi serta memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan optimum sebelum memulakan perjalanan.