Lindungi, beri ganjaran pihak dedah kartel, kata badan pemikir

Lindungi, beri ganjaran pihak dedah kartel, kata badan pemikir

Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi berkata, respons teruk terhadap 'program kelonggaran' sedia ada mungkin akibat kekurangan imuniti buat pemberi maklumat korporat.

Sebuah badan pemikir berkata, pemberi maklumat yang mendedahkan perbuatan penetapan harga, manipulasi pasaran atau operasi kartel lain patut diberikan ganjaran.
PETALING JAYA:
Hanya empat pemberi maklumat bertindak balas terhadap inisiatif untuk mendedahkan kartel penetapan harga dalam tempoh lapan tahun lalu, kata sebuah badan pemikir yang dibiayai komuniti perniagaan Cina.

Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC) berkata, kerajaan sepatutnya memberi ganjaran kepada pemberi maklumat dan memastikan mereka mendapat perlindungan yang lebih baik.

Katanya, respons lemah terhadap “program kelonggaran” sedia ada mungkin disebabkan oleh kekurangan imuniti buat pemberi maklumat korporat.

Faktor lain mungkin kerana kekurangan kesedaran mengenai inisiatif itu sendiri, kata Pengarah Eksekutif SERC, Lee Heng Guie dalam satu persidangan anjuran Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

Lee Heng Guie.

Katanya, “program kelonggaran” diperuntukkan di bawah Akta Persaingan. Mereka yang terbabit perlu mengakui melanggar larangan ke atas perjanjian tertentu antara syarikat atau kartel.

Pelanggaran sedemikian termasuk penetapan harga atau mana-mana syarat perdagangan lain, perkongsian pasaran atau sumber bekalan, penipuan bidaan dan tender serta membatas atau mengawal pengeluaran.

Lee berkata, kartel memudaratkan ekonomi, pasaran dan masyarakat.

“Orang ramai perlu tampil untuk berkongsi maklumat dan menghalang pembentukan kartel.”

Katanya, kartel diselubungi rahsia dan ini menyukarkan usaha mendedahkannya.

Beliau berkata, agensi persaingan di seluruh dunia bergantung kepada dasar atau program kelonggaran untuk menarik lebih ramai orang tampil dan melaporkan amalan haram seperti kartel.

Katanya, di bawah undang-undang sedia ada, penalti kewangan yang dikenakan ke atas pemberi maklumat korporat yang mengakui pembabitan mereka dalam operasi seperti kartel boleh dikurangkan sehingga 100%.

SERC adalah badan pemikir di bawah Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.