Kes import Covid-19 naik 67 kali ganda, kadar kematian turun 38%

Kes import Covid-19 naik 67 kali ganda, kadar kematian turun 38%

Kes import meningkat sebanyak 67.3 kali ganda daripada lapan kes kepada 538 kes minggu lalu.

Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 11% minggu lalu, iaitu daripada 14,195 kes kepada 15,739 kes. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah kes baharu Covid-19 meningkat sebanyak 10.9% kepada 15,739 kes minggu lalu berbanding 14,195 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merangkumi kes tempatan yang meningkat sebanyak 7.1% (14,187 kes kepada 15,201 kes) dan kes import naik sebanyak 67.3 kali ganda (lapan kes kepada 538 kes).

Katanya, peningkatan kes baharu itu turut menyaksikan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital awam dan pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 11% pada minggu berakhir 25 Jun lalu.

Katanya, peratus pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU), katil bukan kritikal di fasiliti Covid-19 dan katil PKRC tiada perubahan.

“Manakala jumlah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat sebanyak 0.1%,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata, jumlah kes aktif turut meningkat sebanyak 27.1% daripada 27,247 kes pada minggu sebelumnya kepada 34,639 kes minggu lalu.

Katanya, jumlah kes sembuh meningkat sebanyak 33.8% daripada 10,524 kes kepada 14,078 kes.

“Bilangan kes kematian menunjukkan penurunan 38.1%, daripada 21 kes kepada 13 kes.”

Katanya, jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dicatatkan sepanjang tahun ini meningkat kepada 4,554,661 kes setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.