Ibu meninggal dunia, keputusan kes rogol ADUN Tronoh ditangguh 27 Jul

Ibu meninggal dunia, keputusan kes rogol ADUN Tronoh ditangguh 27 Jul

Peguam ADUN Tronoh itu memaklumkan penangguhan dibuat selepas ibu Paul Yong meninggal dunia, kelmarin.

Mahkamah Tinggi Ipoh pada Dis 2021, memerintahkan Paul Yong membela diri atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, pada 2019. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang dijadualkan pada Rabu, ditangguhkan kepada 27 Jul.

Perkara itu dimaklumkan peguam Rajpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan.

Menurut Rajpal, penangguhan itu dibuat selepas pihaknya mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Ipoh berikutan ibu anak guamnya itu meninggal dunia, kelmarin.

Katanya, wanita berusia 83 tahun itu meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh akibat kegagalan jantung.

“Walaupun majlis pengebumian telah pun selesai hari ini, anak guam dan keluarga perlu mengikuti tempoh berkabung serta upacara lain sepanjang minggu ini,” katanya menurut laporan Kosmo.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Exco Perak didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah, di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Jul 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.