
Menurut anaknya, Hans, Leong diberitahu bahawa racun perosak Furadan (carbofuran) digunakan untuk melindungi tanaman tersebut.

Tidak lama kemudian, ketika melawat sebuah kebun bunga di Cameron Highlands untuk menjual pasu plastik, seorang pelanggan memaklumkan bahawa pekebun menggunakan lebih 20 jenis racun pada pokok bunga ros untuk menjauhkan perosak.
Amaran-amaran ini menjadi inspirasi bagi Leong untuk memulakan sebuah kebun organik di Simpang Ampat yang dinamakan Kebun Organik dan Penyelidikan Baba Eco.

Lebih daripada sekadar menjual hasil organik dan peralatan berkebun, kini syarikat tembikarnya, Baba Eco Group turut mendukung pertanian organik.
“Kami mengajar petani cara mengintegrasikan teknik pertanian organik di ladang mereka,” kata Hang, yang kini merupakan pengarah Baba Eco Group dan kebun itu.

Setakat ini, 70 petani telah menghadiri program penukaran organik, seterusnya menukar lebih 640 ekar tanah pertanian konvensional kepada yang organik. Syarikat itu juga membantu petani menjual hasil tanaman organik mereka.
Baba Eco Group, iaitu sebuah perusahaan kecil dan sederhana (SME), turut mengajar selok-belok pertanian organik kepada guru-guru.

“Pada mulanya, kami mengadakan program bersama murid sekolah. Kakitangan kami secara sukarela pergi ke sekolah-sekolah dan mengajar pertanian organik.
“Namun dalam tempoh beberapa tahun, kami tidak dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat, jadi kami memperkenalkan program ini untuk guru-guru,” kata Hans.

Setakat ini, seramai 150 guru terlibat dalam program tersebut.
Hans berkata, syarikatnya turut menganjurkan persidangan secara berkala bagi mengumpulkan petani dan pegawai pertanian untuk membincangkan cara-cara mengembangkan sektor pertanian organik.