Harga siling baharu ayam ditentu esok, kata Ronald

Harga siling baharu ayam ditentu esok, kata Ronald

Menteri pertanian dan industri makanan itu berkata penetapan harga siling akan mengambil kira bantuan tunai tambahan BKM.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, berkata penetapan harga siling baharu juga akan diselaraskan mengambil kira bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Harga siling baharu ayam, termasuk kadar subsidi akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara, esok, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee.

Katanya, penetapan harga siling baharu juga akan diselaraskan mengambil kira bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Beliau berkata, pembayaran tuntutan subsidi ayam kepada penternak sebanyak RM729.43 juta sejak 5 Feb juga telah dipermudahkan dan sedang berjalan lancar.

“Setakat 23 Jun, sebanyak 4,239 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM350 juta telah diluluskan kementerian.

“Kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa dan akan terus memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Pada 24 Jun, Ismail mengumumkan kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.

Sehari selepas itu, perdana menteri berkata, keputusan berhubung harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan bukan tindakan ‘U-turn’ atau pusingan U kerajaan.

Katanya, sebaliknya, keputusan dibuat bagi memenuhi hasrat dan memberikan kebaikan kepada rakyat.

“Jadi setelah dengar pandangan rakyat, kita buat keputusan untuk terima pandangan tersebut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.