2 beranak rentung dalam kebakaran

2 beranak rentung dalam kebakaran

Mangsa dipercayai warga emas wanita berusia 61 tahun dan anaknya berusia 27 tahun yang masing-masing berada di bilik berasingan.

Api dipercayai bermula dari tingkat tiga kediaman terbabit sebelum merebak ke tingkat bawah, menurut bomba.
PETALING JAYA:
Dua beranak ditemui rentung manakala dua lagi melecur selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Taman Gembira, Seputeh, pagi tadi.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.22 pagi sebelum anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebanyak empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh, BBP Pantai, BBP Sri Petaling dan BBP Hang Tuah dihantar ke lokasi.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.54 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 7.12 pagi sebelum kami menemui dua mangsa rentung,” katanya, menurut Berita Harian.

Rozihan berkata banglo tiga tingkat itu dihuni enam sekeluarga dan mangsa dipercayai warga emas wanita berusia 61 tahun dan anaknya berusia 27 tahun yang masing-masing berada di bilik berasingan.

“Api dipercayai bermula dari tingkat tiga kediaman terbabit sebelum merebak ke tingkat bawah,” katanya.

Menurutnya, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua lagi mangsa yang melecur dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Siasatan lanjut berhubung punca dan jumlah kerugian sedang dijalankan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.