PM nafi buat ‘U-turn’ selepas umum tidak jadi apung harga ayam

PM nafi buat ‘U-turn’ selepas umum tidak jadi apung harga ayam

Sebaliknya, Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat bagi memenuhi hasrat dan memberikan kebaikan kepada rakyat.

Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam dibuat bagi memenuhi hasrat dan memberikan kebaikan kepada rakyat.
PUTRAJAYA:
Ismail Sabri Yaakob menegaskan keputusan semalam berhubung harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan bukan tindakan ‘U-turn’ atau pusingan U daripada kerajaan.

Sebaliknya, perdana menteri berkata, keputusan dibuat bagi memenuhi hasrat dan memberikan kebaikan kepada rakyat.

“Jadi setelah dengar pandangan rakyat, kita buat keputusan untuk terima pandangan tersebut.

“Yang pentingnya adalah keputusan itu memberikan kepada rakyat. Bukan isu U-turn ke apa, yang pentingnya apa kita buat memberi faedah kepada rakyat. Itu yang penting,” katanya ketika menghadiri program walkabout di Karnival Jom Heboh.

Ismail berkata demikian mengulas kenyataan jurucakap Parlimen Pertanian dan Komoditi PKR, Sim Tze Tzin yang mendakwa tindakan Ismail membuat pusingan U dalam isu kawalan harga ayam bulat di pasaran menimbulkan persepsi bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) tidak cekap dalam merancang polisi.

Sim berkata, pusingan U pentadbiran Ismail untuk mengenakan semula kawalan harga biar pun dikatakan selepas mendengar rintihan rakyat, hanya menimbulkan ketidaktentuan dalam industri penternakan ayam dan menyukarkan penternak merancang bekalan ayam seterusnya.

Semalam, kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.

Ismail berkata, harga baharu ayam akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata perkembangan terkini berhubung harga telur ayam juga akan diumumkan oleh Ronald.

“Tunggu menteri pertanian (Ronald). Nanti kalau saya sudah cakap hari ini, tak ada makna dia punya pengumuman. Tunggu menteri pertanian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.