PAS Perak pelawa Tajuddin tanding PRU15 atas tiket PN, jika tiada tempat dalam BN

PAS Perak pelawa Tajuddin tanding PRU15 atas tiket PN, jika tiada tempat dalam BN

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata parti itu bersedia menawarkan Tajuddin bertanding jika Pasir Salak menjadi milik parti dalam pembahagian kerusi bersama PN.

Razman Zakaria (kiri) berkata PAS Perak bersedia menawarkan Tajuddin Abdul Rahman bertanding mewakili PAS jika kerusi Pasir Salak menjadi milik parti dalam pembahagian kerusi bersama PN.
PETALING JAYA:
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Tajuddin Abdul Rahman dipelawa PAS untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata parti itu bersedia menawarkan Tajuddin bertanding mewakili PAS jika Pasir Salak menjadi milik parti dalam pembahagian kerusi bersama PN.

“Jika berlaku PRU15 dan Tajuddin tidak diberi tempat dalam BN, maka PAS Perak sedia menawarkan beliau bertanding atas tiket PN mewakili PAS.

“(Itu) sekiranya kerusi Pasir Salak itu menjadi milik PAS dalam pembahagian kerusi bersama PN,” kata Razman menurut laporan Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai membayangkan kemungkinan ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak diberi peluang bertanding lagi di kerusi tersebut pada PRU15 mewakili Barisan Nasional (BN).

Ia susulan Tajuddin pada Khamis lalu digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Semalam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata pengguguran Tajuddin disebabkan tindak-tanduk beliau ketika mengkritik parti.

Dalam pada itu, Razman menegaskan pendirian PAS sama sekali tidak akan mencampuri urusan dalaman mana-mana parti lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.