
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, turut dikemukakan oleh ACCCIM adalah masalah capaian internet dan isu berkaitan keselamatan makanan.
“Kerajaan mengalu-alukan penyertaan dan komitmen daripada pihak swasta dan komuniti perniagaan seperti yang ditunjukkan ACCCIM untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi dalam menjalankan perniagaan terutamanya dalam konteks pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.
“Selain itu, kerajaan juga akan terus memantapkan peranannya sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan isu dan cabaran berkaitan peraturan bagi menambah baik persekitaran perniagaan, melonjakkan produktiviti dan daya saing peniaga, serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Pucuk Hijau UMW di Pantai Sri Tujoh, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Bhd Hamad Kama Piah Che Othman.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerajaan sentiasa memandang serius mengenai peningkatan kos untuk menjalankan perniagaan akibat karenah birokrasi dan impak kekurangan pekerja asing ke atas ekonomi yang sering dibangkitkan oleh pihak industri.
“Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan supaya proses kelulusan permohonan pekerja asing disegerakan agar tidak menjejaskan usaha pemulihan ekonomi kerana keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan bekalan pekerja yang mencukupi untuk menyokong pemulihan sektor perniagaan.
“Susulan itu, Menteri Sumber Manusia (M Saravanan) dan Menteri Dalam Negeri (Hamzah Zainudin) akan mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan agensi serta pihak yang berkenaan bagi mempercepat serta mempermudahkan lagi proses kemasukan pekerja asing yang telah diluluskan,” katanya sambil menambah, setakat 10 Jun lalu, hanya 19,000 pekerja asing dari 12 negara sumber telah memasuki Malaysia.