Semangat tak luntur, mangsa nahas motosikal kini jadi usahawan berjaya

Semangat tak luntur, mangsa nahas motosikal kini jadi usahawan berjaya

Walaupun hanya belajar setakat SPM, mengatasi pelbagai dugaan, R Packiyanathan kini memiliki 20 kedai gunting rambut serta perniagaan lain, malah turut menceburi penternakan ayam.

R Packiyanathan (berkemeja kotak-kotak) memiliki 20 kedai gunting rambut di Mentakab selain perniagaan lain, malah turut melatih penduduk tempatan. (Gambar R Packiyanathan)
PETALING JAYA:
Kecemerlangan akademik sememangnya bukan kekuatan R Packiyanathan, sebaliknya beliau menyifatkan asam garam kehidupan sebagai “guru” terbaik untuknya.

Walaupun hanya mempunyai kelayakan sehingga SPM, usahawan berusia 41 tahun itu kini memiliki 20 kedai gunting rambut, sebuah gerai aiskrim “gelato”, sebuah gerai menjual jeruk dan sejak dua tahun lepas, beliau turut menceburi industri penternakan ayam.

Usahawan yang semakin meningkat dan berpengalaman seperti Packiyanathan diraikan pada Minggu Usahawan Nasional (MUN) yang turut menyasarkan untuk membantu golongan itu lebih berkembang dalam perniagaan dengan mengasah ilmu dan kemahiran mereka.

Dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, MUN turut menyasarkan untuk meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya saing dan berjiwa kental dalam menghadapi cabaran persekitaran ekonomi kini.

Seperti ramai usahawan lain, permulaan hidup Packiyanathan sederhana. Anak kelahiran Mentakab itu melihat bagaimana mendiang datuk dan bapanya mencari rezeki dengan menggunting rambut.

R Packiyanathan terlibat kemalangan yang mengakibatkan tempurung lututnya pecah dan kaki kirinya menjadi pendek.

Bapanya meninggal dunia ketika beliau hanya berusia 15 tahun, tetapi anak muda itu tetap meneruskan persekolahan sambil mempelajari selok-belok kemahiran menggunting rambut daripada bapa saudaranya semasa cuti sekolah.

Sebaik tamat sekolah menengah, Packiyanathan pergi ke Singapura dan bekerja sebagai tukang gunting rambut selama dua tahun di sana.

Sekembalinya ke Malaysia selepas itu, beliau bekerja pula di kedai gunting rambut milik bapa saudaranya di Klang. Namun dugaan sekali lagi menimpa apabila Packiyanathan terlibat dalam kemalangan yang buruk ketika pulang ke Mentakab pada musim percutian.

Nahas itu mengakibatkan Packiyanathan mengalami kecederaan teruk dengan tempurung lututnya pecah manakala kaki kirinya menjadi pendek.

Packiyanathan kemudian diarahkan berehat di katil sepenuhnya selama tiga tahun, selain menjalani pembedahan 11 kali pada kakinya.

“Selepas pulih, saya tidak dapat buat sebarang pekerjaan kerana tidak mampu berdiri lama. Jadi saya kembali kepada satu-satunya kemahiran yang ada, iaitu menggunting rambut dengan bekerja di kedai sepupu.

Banjir besar yang melanda Pahang pada 2014 mengakibatkan R Packiyanathan mengalami kerugian teruk dengan kesemua tujuh kedai miliknya ketika itu terpaksa dibaik pulih.

“(Berdiri) dengan bantuan tongkat, saya menggunting rambut pelanggan. Kadangkala saya dapat menggunting rambut lima hingga tujuh pelanggan sebelum terpaksa duduk apabila kaki menjadi bengkak,” katanya kepada FMT.

Dengan bantuan keluarga, khususnya abang sulungnya, Packiyanathan mula mengusahakan kedai sendiri. Beliau mencari premis untuk disewa dan melatih tukang gunting rambut untuk bekerja dengannya.

Ketika itu, beliau mengambil pinjaman RM10,000 daripada Tekun Nasional untuk membiayai perniagaannya. Melihat perniagaannya itu mendapat sambutan, Packiyanathan memutuskan untuk menaik taraf dan menjadikan kedainya lebih moden.

Semakin masa berlalu, Packiyanathan membuka lebih banyak cawangan, malah sekali lagi mengambil beberapa pinjaman daripada Tekun untuk tujuan itu. Pada masa sama, beliau melatih dan mengambil pekerja dalam kalangan pemuda di Mentakab, seterusnya perlahan-lahan mengembangkan perniagaan.

Selepas kerap ke Kuala Lumpur dan melihat pelbagai francais aiskrim di ibu negara, Packiyanathan memutuskan untuk membuka gerainya sendiri di sebuah pusat beli-belah di Mentakab dengan menjual aiskrim “gelato” Itali.

Selain itu, pada 2013, beliau juga mula berniaga jeruk buah-buahan selepas melihat populariti makanan itu di Pulau Pinang. Beliau sekali lagi mendapatkan pinjaman untuk mendukung usahanya menceburi industri makanan dan minuman itu.

Bagaimanapun Packiyanathan hampir putus harapan pada 2014 apabila Mentakab dilanda banjir besar yang menjejaskan kesemua tujuh kedai gunting rambutnya.

“Saya benar-benar mati akal ketika itu, malah berada dalam keadaan panik. Namun mujur Tekun sekali lagi menghulurkan bantuan dengan pemberian geran segera yang saya terima tiga minggu kemudian. Ini digunakan untuk membaiki kedai,” katanya.

R Packiyanathan mengusahakan ladang penternakan ayamnya sendiri setelah menimba ilmu daripada rakannya ketika wabak Covid-19 melanda.

Selepas tiga tahun, Packiyanathan berjaya membuka tiga lagi cawangan kedai guntingnya. Namun wabak Covid-19 yang melanda mengakibatkan beliau hilang sumber pendapatan.

Beliau tetap membayar sewa dan gaji pekerja, memandangkan ada antara mereka yang setia bersamanya selama lebih 10 tahun. Packiyanathan malah mengambil pinjaman untuk menampung perbelanjaan ketika itu.

Semasa wabak, beliau mula mengintai perniagaan penternakan ayam, termasuk menimba ilmu dengan seorang sahabat yang berkecimpung dalam industri itu.

“Saya tiada apa hendak dibuat, jadi saya pergi belajar,” katanya.

Packiyanathan pantas mempelajari segalanya mengenai bidang itu, termasuk berkaitan dedak, jenis reban, malah hakikat bahawa ayam turut mengalami batuk.

Selepas menjual beberapa barangan peribadi, beliau berjaya mengumpul wang mencukupi untuk mengambil pekerja dan mula menternak ayam secara kecil-kecilan.

Dalam hanya sebulan, usaha kerasnya membuahkan hasil dan keuntungan yang diperolehi digunakan untuk meningkatkan lagi perniagaan itu memandangkan kedai gunting rambut, jeruk dan gelato miliknya terpaksa ditutup sepanjang pelaksanaan pelbagai sekatan berkait wabak.

Setelah sektor-sektor berkenaan dibenarkan dibuka semula tahun lepas, Mentakab sekali lagi dilanda banjir pada akhir 2021 hingga Januari lepas.

Kira-kira sembilan daripada 20 kedai gunting rambutnya terjejas, namun Tekun sekali lagi membantu dengan mengeluarkan geran untuk usahawan yang terjejas.

“Tempoh dua tahun lalu ini memang yang terburuk bagi perniagaan. Namun mujur keempat-empat perniagaan saya berjalan lancar dan saya mampu bukan sahaja menampung perbelanjaan malah membayar hutang, jadi saya kini lebih stabil,” katanya penuh syukur.

“Tekun yang begitu banyak membantu saya dalam setiap liku perjalanan. Ketika saya panik, mereka yang membantu saya menapak semula, malah banyak membantu saya belajar mengenai erti menjadi usahawan,” kata bapa beranak tiga itu.

Selain Tekun Nasional, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menawarkan pelbagai program serta inisiatif menerusi agensinya yang lain mengikut keperluan perniagaan.

Sambutan MUN akan diadakan dari 24 hingga 27 Jun di Malaysia Grand Bazaar (MGB) @ Lalaport di Bukit Bintang City Centre, yang dijangka bakal dikunjungi kira-kira 20,000 orang sepanjang tempoh empat hari itu.

Kementerian turut menjangkakan potensi pemadanan pasaran dan perniagaan bernilai sekitar RM10 juta dapat dicapai menerusi MUN ketika Putrajaya meraikan sumbangan usahawan kepada negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.