Sekarang bolehlah Tajuddin tumpu tugas duta besar, kata Ahmad Maslan

Sekarang bolehlah Tajuddin tumpu tugas duta besar, kata Ahmad Maslan

Ahmad Maslan mahu pengguguran Tajuddin Abdul Rahman dilihat dari sudut positif.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, amat sukar bagi Tajuddin Abdul Rahman untuk mengimbangi tugas mengukuhkan hubungan Malaysia-Indonesia dengan kerja-kerja mempersiapkan Umno menghadapi PRU15.
KUALA LUMPUR:
Pengguguran Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi Umno memberi peluang kepada ahli Parlimen Pasir Salak itu menumpukan “sepenuh masa” kepada peranan baharunya sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia, kata Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, amat sukar mengimbangi secara sepenuh masa tugas mengukuhkan hubungan Malaysia-Indonesia dengan kerja-kerja mempersiapkan Umno untuk menghadapi PRU15.

“Bagaimana Tajuddin nak sepenuh masa tumpu sebagai duta dan MKT? Untuk berlaku adil kepada beliau, amanah kepada negara paling utama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di BN Youth Job Fair 2022 di ibu negara.

“Beliau diberi peluang untuk menumpukan sepenuh masa sebagai duta besar.”

Dalam surat pemberitahuan tular bertarikh 21 Jun yang dilihat FMT, Ahmad merakamkan ucapan tahniah parti atas pelantikan Tajuddin sebagai duta besar.

Tajuddin pada Ahad mengesahkan menerima watikah pelantikan sebagai duta besar Malaysia ke republik itu, di sebalik tanda tanya dan kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk diplomat.

Terdahulu, Presiden Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno menggugurkan Tajuddin disebabkan tindak-tanduk beliau ketika mengkritik parti, dengan mengatakan mesyuarat MKT menerima perbezaan pendapat namun harus mematuhi keputusan parti.

Tunggu jawapan JPPM

Sementara itu, mengulas status kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) susulan keputusan Umno meminda perlembagaan untuk mengadakan pemilihan parti selepas pilihan raya umum (PRU), Ahmad berkata pihaknya masih menunggu jawapan daripada badan berkenaan selepas segala dokumen tambahan diberikan.

Katanya, tiada sebab untuk JPPM lambat membuat keputusan memandangkan Umno sudah memberikan kerjasama dan segala dokumen diperlukan.

“Apabila saya tanya ada apa-apa lagi dokumen tambahan yang mereka minta, mereka cakap sudah tidak ada dan lengkap, jadi kita menunggu dengan penuh sabar apakah keputusan JPPM, jika kita melihat MCA lebih kurang pindaan sama dan JPPM luluskan.

“Tidak terlalu sukar untuk mereka buat keputusan kepada Umno, ini bukan perkara kali pertama dipohon oleh parti politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.