
Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata, itulah sebabnya bekas perdana menteri itu mengarahkannya menghadiri mesyuarat pada 24 Feb 2016 bagi membincangkan pindaan laporan itu.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa, turut dihadiri Ambrin Buang, iaitu ketua audit negara ketika itu, kakitangannya dan pegawai kerajaan.
Laporannya itu akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.
“Saya terima panggilan telefon daripada Najib sehari sebelum mesyuarat. Beliau minta saya hadir dalam kapasiti sebagai presiden 1MDB,” kata Arul Kanda ketika diperiksa pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram.
Arul Kanda, yang memberi keterangan untuk pihak pendakwaan berkata, Najib menjelaskan mengapa beliau dikehendaki hadir.
“Salah satu sebab utamanya adalah untuk mempertahankan kepentingan syarikat (1MDB),” katanya selain menambah bahawa Najib mahu memastikan jabatan audit bertindak dalam bidang kuasanya.
Beliau berkata, Najib turut menzahirkan kebimbangan bahawa kandungan laporan itu boleh diputar belit dari perspektif politik.
Sri Ram: Diputar belit untuk jejaskan siapa?
Arul Kanda: Menurut kefahaman saya, (jejaskan) Najib.
Najib kini dibicarakan atas dakwaan salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu pada Februari 2016 untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan kepada laporan muktamad audit 1MDB sebelum ia dibentangkan pada mesyuarat PAC.
Awal hari ini, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memeriksa Arul Kanda, yang didakwa bersubahat dengan Najib. Beliau juga kekal sebagai tertuduh bersama.
Perbicaraan di hadapan hakim Zaini Mazlan ditangguhkan hingga 4 Julai.