
Pengerusi Persatuan Pembiak Baka Ayam Kampung Warisan Malaysia, Azhar Kasim, berkata sekiranya harga ayam terus meningkat, beliau tidak menolak sumber makanan itu tidak akan menjadi menu utama lagi untuk rakyat.
“Elak daripada jual dengan harga mahal, nanti tidak akan jadi daya penarik untuk pengguna terus jadikan ayam sebagai menu ‘first in the list’ (senarai pilihan utama),” katanya kepada FMT.
Terbaharu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran tidak diapungkan dan harga baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Selasa lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi mengumumkan pemansuhan harga siling bagi ayam dan telur ayam yang ditetapkan pada 5 Feb, mulai 1 Julai.
Subsidi minyak masak dalam botol juga akan dimansuhkan bermula 1 Julai, tetapi minyak masak dalam polibeg 1kg akan terus kekal pada harga RM2.50.
Dalam pada itu, Azhar berkata harga ayam merupakan salah satu sumber makanan yang harganya tidak naik keterlaluan sejak lebih 30 tahun lalu berbanding harga daging lembu, kambing dan ikan.
Beliau turut mencadangkan, bagi mengawal kenaikan harga ayam masa ini, syarikat besar ayam boleh mengeluarkan anak ayam sendiri.
Katanya, langkah lain juga boleh diambil dengan menjimatkan lagi kos melalui penternakan secara kontrak.
“Untung tambahan sudah dapat dari jualan dedak dan jualan anak ayam. Maka tak perlu kacau sangat harga jualan di ladang agar pengguna kekal suka beli ayam daging,” katanya.
Azhar berkata, banyak kebaikan jika harga ayam terus dapat distabilkan dan antaranya dapat membuka ruang serta peluang perniagaan bagi rakyat.
Katanya, ini dapat menambahkan gerai dan menu ayam seperti nasi ayam, ayam penyet, “chicken chop”, ayam gunting, satay ayam dan sebagainya.
“Oleh itu ayam daging telah berjaya membina ekonomi rakyat melalui perniagaan berasaskan ayam,” katanya.