
Antaranya, Briged MIC Kebangsaan yang prihatin dengan kesusahan yang dihadapi remaja terbabit, memberikan bantuan komputer riba bagi memudahkan Naveenkumar melanjutkan pengajian.
Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan yang juga Ketua Briged MIC Kebangsaan, Andrew David telah pun menghubungi ayah remaja terbabit, Vijayakumaran Gengan, 50, bertanyakan situasi terkini mereka selain mengucapkan tahniah atas keputusan cemerlang remaja itu dalam peperiksaan SPM.
Memaklumkan perkembangan itu, Vijayakumaran berkata, dia sangat gembira dan bersyukur kerana banyak pihak yang prihatin dan sanggup menghulurkan bantuan bagi membolehkan anaknya menyambung pengajian.
“Saya turut menerima beberapa panggilan telefon daripada orang awam. Mereka juga ada memberikan sumbangan wang tunai kepada anak saya untuk membolehkan dia sambung belajar.
“Sumbangan yang diterima kini sudah mencukupi. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada FMT yang telah membantu mengetengahkan masalah yang dihadapi kami sekeluarga yang akhirnya mendapat perhatian masyarakat,” katanya.

Vijayakumar berkata, dia menggunakan sepenuhnya sumbangan wang tunai yang diterima bagi menyiapkan keperluan anaknya menyambung pengajian dan sangat menghargai sumbangan yang diberikan.
Katanya, anaknya mungkin akan menyambung pengajian di peringkat matrikulasi atau diploma terlebih dahulu sebelum menyambung ke peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan awam.
“Saya sangat berharap Naveenkumar berjaya mencapai cita-citanya menjadi seorang jurutera yang berjaya yang nanti akan dapat pula membantu dan menyumbang kepada golongan miskin dan memerlukan untuk melanjutkan pengajian mereka,” katanya.
Vijayakumar berkata, dia akan meneruskan kehidupan dengan bekerja sebagai mekanik membaiki motosikal dan akan memastikan setiap anaknya berjaya dalam kehidupan masing-masing.
FMT sebelum ini melaporkan, Vijayakumar yang hanya bekerja sebagai mekanik dan mempunyai pendapatan yang tidak menentu, buntu memikirkan cara untuk menyediakan keperluan komputer riba dan kelengkapan untuk anaknya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM tahun lalu.
Vijayakumar menyara kehidupannya dengan membaiki motor di rumah setelah kehilangan kerja selepas terbabit dalam kemalangan.