PM minta Kementerian Pengangkutan rangka tambang ECRL berpatutan

PM minta Kementerian Pengangkutan rangka tambang ECRL berpatutan

Perdana menteri berkata kadar itu hendaklah seperti tambang perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang disifatkan sebagai mesra rakyat.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob merasmikan permulaan pembinaan Terowong Genting ECRL Pahang di Bentong. (Gambar Bernama)
BENTONG:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) diminta berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang yang amat berpatutan untuk perkhidmatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.

Beliau berkata, kadar itu hendaklah seperti tambang perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad yang disifatkannya sebagai “mesra rakyat” dan bukan seperti dakwaan yang telah mula disebarkan di media sosial kononnya tambang ECRL kelak adalah terlalu mahal.

Selain itu, Ismail berkata, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) juga difahamkan bakal menjana pendapatan sampingan yang dapat menampung kos pengoperasian dan bayaran balik pinjaman pembinaan projek ECRL daripada China EXIM Bank.

“Sehubungan itu, sebuah syarikat usaha sama dengan nisbah kepentingan 50:50 antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sedang dirancang penubuhannya bagi menjayakan pengendalian operasi perkhidmatan ECRL termasuk menanggung kos dan risiko operasi secara bersama.

Syarikat usaha sama ini bakal menyediakan bantuan teknikal dan memperhebatkan pemindahan teknologi kereta api serta bersama-sama mengendali dan menyelenggarakan ECRL untuk jangka masa panjang,” katanya dalam ucapan perasmian permulaan pembinaan Terowong Genting ECRL Pahang di tapak pembinaannya di sini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi MRL Mohd Zuki Ali, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Darwis Abdul Razak dan Naib Presiden CCCC Sun Ziyu.

Menyifatkan ECRL sebagai pencetus perubahan atau “game changer”, Ismail berkata, perkhidmatannya dengan kelajuan 160km sejam menawarkan jalinan pengangkutan yang lebih moden, selamat dan efisien ke Pantai Timur.

Dengan 20 stesen dan 10 daripadanya adalah stesen penumpang manakala selebihnya ialah stesen gabungan penumpang dan kargo, ia menghubungkan bandar raya, bandar dan taman perindustrian dengan lebih efektif serta meningkatkan sistem pengangkutan awam di kawasan luar bandar.

Selain itu, perdana menteri berkata, pelaksanaan projek yang melibatkan jajaran sepanjang 665km dari Kelantan ke Selangor dengan kos pelaksanaan RM50.27 bilion itu juga menyaksikan penglibatan lebih daripada 1,500 buah syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, pembekal dan perunding.

Ini sejajar dengan persetujuan antara MRL dan CCCC untuk melantik subkontraktor dan pembekal tempatan bagi sekurang-kurangnya 40% daripada kerja sivil yang dianggarkan bernilai sehingga RM10 bilion dan setakat April lalu, lebih RM7 bilion nilai kontrak telah ditawarkan bagi projek ECRL di negeri Pantai Timur.

“Pihak CCCC juga bersetuju memberi perhatian khas kepada pelantikan kontraktor kecil yang bersaiz Gred G1- G3 bagi memberi manfaat langsung kepada mereka.

Sebuah Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera Projek ECRL telah ditubuhkan bagi memantau dan memastikan penyertaan efektif syarikat tempatan yang berkelayakan,” katanya.

Projek ECRL itu juga disifatkan Ismail berpotensi melahirkan lebih ramai warga tempatan yang berkemahiran dalam bidang industri rel melalui Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) yang dijangka membuka peluang kepada 5,000 anak muda dari Pantai Timur.

Mengulas mengenai Terowong Genting ECRL, Ismail berkata, pembinaan terowong berkembar sepanjang 16.39km yang merupakan terowong rel terpanjang di rantau ini, merupakan antara komponen utama Projek ECRL kerana ia dapat melengkapkan jambatan darat bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang.

Terowong itu yang dijangka siap dalam tempoh antara dua tahun setengah ke tiga tahun merupakan satu-satunya daripada penggerudian 59 terowong menggunakan kaedah mesin pengorek terowong (TBM) berbanding kaedah gerudi dan letup bagi terowong lain sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.