
Rama Ramanathan daripada Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED) berkata, banduan didorong hilang akal kerana berhimpit-himpit dalam tahanan, selain kekurangan makanan, kebersihan dan pencahayaan yang mencukupi.
“Penjara kita juga memupuk sikap tidak berperikemanusiaan kerana wadarnya dibiarkan untuk menganggap perbuatan seumpama itu sebagai ‘normal’, dengan menggunakan sekatan atau pukulan untuk memaksa tahanan supaya patuh,” katanya.
Kenyataannya itu menyusul dakwaan seorang bekas banduan mengenai penganiayaan oleh wadar.
Bekas banduan itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, menceritakan kisahnya dalam wawancara dengan FMT baru-baru ini.
Menurut Ali, beliau direman lima tahun di sebuah penjara di negeri di utara Semenanjung.
Rama mengucapkan tahniah kepada Ali dan 41 individu lain kerana “mengumpul keberanian” untuk menulis satu petisyen.
Beliau mempersoalkan keberkesanan peranan pegawai kehakiman yang dilantik untuk melawat penjara.
Mengikut Akta Penjara, kerajaan mesti melantik lembaga pelawat bagi setiap negeri setiap dua tahun.
Beliau juga berkata, penjara sesak dengan tahanan adalah perkara yang telah dibangkitkan oleh Suhakam selama bertahun-tahun.
“Cerita buruk yang tak putus-putus mengenai penjara membuka luas peluang bagi pemegang kuasa yang korup untuk menuntut dan menerima suapan agar tidak mendakwa pesalah,” katanya.
“Arus cerita sebegini mesti dibendung dengan mengurangkan penggunaan penjara dan menamatkan penganiayaan di dalam penjara.”
Beliau menggesa Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Penambahbaikan Penjara dan Pusat Tahanan Azalina Othman menuntut jawapan daripada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengenai dakwaan yang dibuat oleh Ali.
Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri belum menjawab permintaan FMT untuk mendapatkan komen.
Peguam Ali, Hussaini Abdul Rashid berkata, beliau telah menulis kepada menteri dalam negeri dan ketua pesuruhjaya penjara dan sedang menunggu jawapan.