Pekerja boleh mohon bekerja secara fleksibel, kata timbalan menteri

Pekerja boleh mohon bekerja secara fleksibel, kata timbalan menteri

Timbalan menteri sumber manusia berkata permohonan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) perlu dibuat secara bertulis dan boleh meliputi perubahan waktu, hari dan tempat bekerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata kajian juga telah dijalankan terhadap tempoh bekerja empat hari dalam seminggu bagi memastikan majikan tidak berdepan kesan yang teruk. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Pekerja di negara ini yang ingin bekerja secara fleksibel boleh membuat permohonan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing bawah pindaan Akta Kerja 1955 yang akan mula dikuatkuasakan pada 1 Sept depan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata permohonan AKF itu perlu dibuat secara bertulis dan boleh meliputi perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan juga tempat bekerja.

“Apabila permohonan dibuat, majikan perlu memberi jawapan kepada pekerja secara bertulis sama ada bersetuju atau menolak permohonan berkenaan dalam tempoh 60 hari dan perlu memberi alasan mengapa permohonan itu ditolak,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau merasmikan program Simposium Keharmonian Perusahaan Wilayah Utara yang diadakan bertujuan meningkatkan hubungan majikan dan pekerja dalam menjaga kepentingan keharmonian perusahaan selain meningkatkan tahap pematuhan undang-undang.

Sementara itu, Awang berkata kajian juga telah dijalankan terhadap tempoh bekerja empat hari dalam seminggu bagi memastikan majikan tidak berdepan kesan yang teruk sekiranya ia dilaksanakan pada masa hadapan.

“Kajian telah dan sedang dijalankan. Setakat ini, kita lihat tempoh empat hari bekerja itu tidak mengurangkan produktiviti pekerja. Sekiranya ada majikan yang terkesan, kita akan ambil kira kajian berkenaan untuk dibincangkan di pihak kementerian,” katanya.

Semalam, pakar ekonomi Barjoyai Bardai berkata Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu seperti yang mula dilaksanakan di beberapa negara maju berikutan faktor produktiviti yang rendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.