
Beliau berkata, ia dapat dicapai terutamanya apabila parti pemerintah tidak berada dalam kedudukan dominan kerana ia boleh dipujuk untuk akur dan bersetuju untuk melakukan reformasi.
“Katalah Umno atau BN berkuasa semula pada pilihan raya umum nanti dan mereka tidak berada pada kedudukan dominan…bahkan, kedudukan mereka hampir menyerupai keadaan yang berlaku ketika ini. Jadi kita akan mula melihat kepada perjanjian MoU keyakinan dan pembekalan sebagai norma baharu dalam politik di negara ini,” katanya dalam persidangan berhubung pendanaan politik.
Fann berkata, parti pemerintah mungkin perlu berunding dengan pembangkang menerusi MoU atau perjanjian keyakinan dan pembekalan untuk kekal berkuasa dan membentuk kerajaan stabil dan berfungsi.
“Dalam situasi itu, parti seperti Umno juga boleh dipujuk supaya akur dan bersetuju seperti dalam reformasi pendanaan ini,” katanya.
Beliau merujuk kepada saranan Bersih bagi pendanaan awam berdasarkan perkongsian-pengundi dengan minimum nilai ambang 2%.
Saranan itu merupakan sebahagian daripada tiga syor yang diterbitkan dalam laporan yang dipertanggungjawabkan kepada Bersih, tahun lalu.
Persidangan berhubung pendanaan politik ini dianjurkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Majlis Peguam.