Kes tembak kucing: Bapa guna senapang angin buatan anak, kata polis

Kes tembak kucing: Bapa guna senapang angin buatan anak, kata polis

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui dari mana si anak belajar membuat senjata itu, kata Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit.

Seorang lelaki yang dilaporkan menembak mati kucing jirannya pada Isnin dipercayai menggunakan senapang angin yang dibuat anaknya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan senapang angin yang dirampas dengan penahanan dua beranak berhubung kes seekor kucing ditembak mati di Bukit Rambai, Melaka pada Isnin adalah senjata buatan sendiri.

Menurut Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit, senjata terbabit dipercayai dihasilkan oleh si anak sebelum digunakan oleh bapanya untuk menembak haiwan itu.

Katanya, mereka turut merampas beberapa alatan dipercayai alat ganti senapang itu berserta 17 peluru penabur semasa pemeriksaan dilakukan di rumah suspek kelmarin.

“Setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui dari mana suspek belajar membuat senapang angin itu,” katanya, lapor Harian Metro.

Terdahulu, dua beranak itu dilaporkan ditahan selepas dipercayai menembak mati seekor kucing menggunakan selaras senapang angin.

Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek dikatakan bertindak demikian kerana tidak berpuas hati kucing milik jirannya itu masuk ke dalam rumahnya.

Beliau berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan dibuat seorang lelaki kira-kira 2.30 petang mendakwa seekor kucing peliharaannya muntah darah dan terdapat luka kecil di bahagian belakang tubuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.