
“Kebijaksanaan pendakwaan atau ketidakbijaksanaan dan kesilapan dalam penyiasatan adalah isu langsung dalam perbicaraan,” kata Tetuan Shahrul, Hamidi & Haziq dalam satu kenyataan.
“Ulasan yang dibuat oleh bekas peguam negara itu dan disiarkan dalam portal Malaysiakini menghampiri penghinaan.”
Dalam laporan di portal Malaysiakini, Thomas menjelaskan mengapa beliau tidak mendakwa individu lain yang terlibat dalam kes itu, selain Zahid.
Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Zahid, Jumaat lalu, bekas pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), David Tan, mendakwa dia menyimpan lejar “menteri, ahli politik dan kakitangan kerajaan” yang menerima dana daripada syarikat itu.
Selain Zahid, lejar itu didakwa turut menyebut nama bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican.
Nama lain ialah bekas menteri luar, Anifah Aman dan bekas ketua menteri Sabah, Shafie Apdal juga berada dalam senarai penerima dana daripada syarikat itu.
Muhyiddin, Khairy, Hishammuddin, Reezal dan Anifah kemudian menafikan menerima sebarang dana daripada UKSB, pengendali Pusat Sehenti di China dan Sistem Visa Asing (VLN).