
Agha Andul Sattar, seorang pelarian dari Pakistan berkata, beliau dan pelarian lain berasa tidak diterima di negara ini.
Sebagai seorang Muslim Ahmadiyah, beliau melarikan diri daripada penindasan berunsur agama di Balochistan dan datang mencari suaka di Malaysia pada 2016.
Beliau menganggap dapat mencari kerja di Malaysia, namun berasa tawar hati apabila mendapati peluang itu terhad kepadanya.
“Semua orang tahu kerajaan (Malaysia) tidak benarkan kami bekerja dan ini menjejaskan kehidupan kami di sini,” katanya kepada FMT.
Agha, 44, kini menjadi penggerak sosial dan pemaju komuniti dalam kumpulan aktivis North-South Initiative.
Beliau berkata, pelarian sering digambarkan secara buruk oleh media arus perdana menyebabkan majikan keberatan untuk mengupah mereka.
“Tetapi tiada siapa yang bercakap tentang masalah yang kami hadapi atau peranan penting yang boleh kami mainkan di Malaysia,” tegasnya.
“Ketika berlaku krisis buruh semasa wabak Covid-19, kami lebih daripada bersedia untuk membantu. Kami sentiasa bersedia.”

Kai Sian Pau, seorang pelarian daripada komuniti Zomi di Myanmar berkata, orang ramai tidak seharusnya percaya dengan cerita buruk mengenai pelarian.
“Kami bukan orang jahat. Orang ramai hanya perlu kenali kami dan budaya kami dengan lebih dekat,” katanya.
Kai datang ke Malaysia pada 2010 kerana komunitinya, iaitu kumpulan etnik minoriti, dianiaya oleh kerajaan negara itu.
Beliau berkata, ramai pelarian daripada komunitinya berasa putus asa berada di Malaysia kerana mereka tidak dapat membina kehidupan yang lebih baik.
“Rasanya seperti kami tidak berhak berusaha untuk mencapai impian kami,” katanya dengan menambah bahawa tekanan dalam menjalani kehidupan seharian memburukkan keadaan.
Kai berkata, kerajaan dan majikan mesti mengiktiraf potensi pelarian dan tidak mengetepikan mereka, terutamanya berkait peluang pekerjaan.
“Kami boleh bantu (kekurangan tenaga buruh) dan boleh bekerja kerana kami sihat tubuh badan. Jika kami boleh bekerja, kami tidak perlu bergantung kepada derma,” katanya.
Beliau berharap undang-undang dan Perlembagaan negara ini akan melindungi dan menyediakan peluang yang saksama kepada pelarian.
Sementara itu, pelarian Rohingya yang hanya mahu dikenali sebagai Saif berkata, ramai warga Rohingya mahu bekerja dan sanggup belajar.
“Bagaimanapun, mereka (pelarian) tidak diberi peluang dan dipandang rendah oleh majikan dan ini menyebabkan mereka berasa tidak yakin dan kecewa,” katanya.

Saif, 27, meninggalkan Myanmar dan pergi ke Bangladesh bersama keluarganya ketika berusia sembilan tahun. Pada 2018, beliau datang ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran.
Menganggap dirinya antara segelintir individu yang bertuah, beliau menyumbang kembali kepada masyarakatnya di sini dengan mendidik lebih 100 kanak-kanak Rohingya di sebuah pusat di Meru, Klang.
Menurutnya, majikan biasanya teragak-agak untuk mengambil pelarian bekerja dan akhirnya terpaksa membayar lebih untuk dokumentasi pekerja asing.
“Berbanding membayar jumlah yang besar untuk pekerja asing, majikan dan kerajaan harus menggunakan wang itu untuk mengambil pelarian bekerja di sini,” katanya selain menambah bahawa sukar untuk mengambil pekerja asing sejak wabak melanda.
Saif berkata, langkah mengambil pelarian bekerja akan menyumbang kepada “situasi menang-menang” kerana ia akan membantu dalam krisis tenaga buruh negara dan memberikan pelarian tujuan dalam kehidupan mereka.
Malaysia kini kekurangan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja dalam industri pembuatan (627,000), perladangan (120,000) dan pembinaan (550,000).
Menurut Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian di Malaysia (UNHCR), terdapat kira-kira 181,000 pelarian dan pencari suaka di negara ini dengan 85% daripadanya dari Myanmar, termasuk kira-kira 103,000 warga Rohingya.
Selebihnya adalah dari 50 negara lain, termasuk Pakistan, Yaman, Syria dan Somalia.