Ada masa tengok bola, takkan tak sempat jumpa Muhyiddin, Wan Saiful tegur PM

Ada masa tengok bola, takkan tak sempat jumpa Muhyiddin, Wan Saiful tegur PM

Ketua penerangan Bersatu itu mengingatkan Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan hari ini adalah hasil sokongan beberapa Ahli Parlimen PN dan GPS.

Wan Saiful Wan Jan berkata, Muhyiddin Yassin (kiri) menunggu lebih dua minggu untuk bertemu Ismail Sabri Yaakob bagi menyerahkan nama pengganti Zuraida Kamaruddin yang melompat ke Parti Bangsa Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengambil serius hasrat Muhyiddin Yassin untuk bertemunya berhubung kedudukan Zuraida Kamaruddin dalam Jemaah Menteri.

Katanya, presiden Bersatu itu telah menunggu lebih dua minggu untuk bertemu Ismail bagi menyerahkan nama individu yang akan menggantikan Zuraida sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi mengikut kuota parti.

“Perdana Menteri kena beri perhatian yang seriuslah,” kata Wan Saiful kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke MyFarm Village di Kuala Perlis.

“Kalau ada masa tonton bola, takkan nak jumpa orang yang mencalonkannya (jadi perdana menteri) tak sempat.

“Selepas tonton bola, makan malam, apa salahnya penuhi undangan untuk berjumpa (Muhyiddin),” katanya.

Wan Saiful merujuk kepada kehadiran Ismail ke perlawanan terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 antara pasukan negara dan Bangladesh pada 14 Jun.

Selasa lepas, Muhyiddin berkata, beliau sudah menunggu “terlalu lama” untuk berjumpa Ismail.

Zuraida dilantik menganggotai Jemaah Menteri pada 27 Ogos 2021 ketika bersama Bersatu sebelum keluar parti itu hujung bulan lepas untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Dalam pada itu, Wan Saiful mengingatkan Ismail bahawa kerajaan hari ini dibentuk hasil sokongan beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata, sokongan PN dan GPS kepada kerajaan adalah lebih besar daripada sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Kena ingat gabungan PN ada 50 orang ahli Parlimen. Dicampur dengan sokongan kita dapat daripada GPS, ada hampir 70 orang.

“Ini gabungan besar, malah lebih besar daripada BN. Kita yang angkat beliau jadi calon perdana menteri dan diterima dengan sokongan daripada kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.