Umum pelan tangani isu subsidi, kos sara hidup dalam masa 24 jam, gesa PH

Umum pelan tangani isu subsidi, kos sara hidup dalam masa 24 jam, gesa PH

Majlis Presiden PH berkata menteri yang bertanggungjawab dalam isu itu perlu meletakkan jawatan sekiranya kerajaan gagal menangani isu terbabit.

Majlis Presiden PH berkata, dalam keadaan ekonomi amat terkesan akibat pandemik Covid-19, kehidupan rakyat bakal bertambah parah apabila harga barang meningkat.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa mengumumkan pelan untuk menangani isu subsidi dan kos sara hidup rakyat dalam masa 24 jam.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa menteri yang bertanggungjawab dalam isu itu meletakkan jawatan sekiranya gagal mengemukakan pelan tersebut.

“PH juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook; dan Presiden Upko, Madius Tangau.

Dalam pada itu, PH menyatakan kebimbangan mengenai isu kos sara hidup terutama selepas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi semalam.

Nanta berkata, tiada lagi subsidi akan diberikan bagi minyak masak tulen berbotol serta harga siling bagi telur dan ayam akan dihapuskan mulai 1 Julai.

PH berkata, dalam keadaan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19, kehidupan rakyat bakal bertambah parah apabila harga barang meningkat.

“Pada ketika ini, kerajaan belum mengumumkan sebarang mekanisme, dana serta garis masa pelaksanaan subsidi bersasar walaupun hanya tinggal lebih kurang seminggu hingga terhapusnya subsidi dan harga siling ini.

“Ini tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang barangkali meningkat berkali ganda. Ini bukan langkah yang proaktif mahupun bertanggungjawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.