
Motac dalam kenyataan menyebut, pihaknya memandang serius tawaran pakej berkenaan memandangkan harganya jauh lebih rendah daripada caj pakej dan permit haji dikenakan kerajaan Arab Saudi.
“Motac akan mengambil tindakan sewajarnya bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yakni Seksyen 8(d) Akta 482 menyebut syarikat pengusaha pelancongan tidak boleh menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut Motac, pengusaha pelancongan yang melanggar akta berkenaan boleh dikenakan penggantungan atau pembatalan lesen.
Sehubungan itu, Motac menasihatkan orang awam untuk membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap apa saja pakej ditawarkan dan hanya mempertimbangkan syarikat berlesen demi memastikan hak mereka terpelihara.
Senarai syarikat pelancongan yang berlesen bawah Motac boleh dirujuk di laman web, www.motac.gov.my/semakan/umrah.
Sebelum ini, Pengarah Operasi Bimbingan Tengku Aziz Raja Abdullah dilaporkan berkata, lambakan iklan yang mempromosikan pakej badal haji pada harga tidak munasabah perlu diberi perhatian serius kerana ia seolah-olah tindakan sengaja mengaut keuntungan.
Katanya, Lembaga Tabung Haji yang memainkan peranan penting di Tanah Suci pun tidak melaksanakan badal haji tahun ini kerana menyedari pelbagai peraturan ditetapkan Arab Saudi.