Pertuduhan Yasin tanam 17 pokok ganja kekal

Pertuduhan Yasin tanam 17 pokok ganja kekal

Pertuduhan terhadap penyanyi dan komposer itu kekal susulan hasil laporan kimia mengesahkan 17 pokok itu adalah ganja.

Selain berdepan tuduhan menanam pokok ganja, Muhammad Yasin Sulaiman juga menghadapi dakwaan mengedar ganja anggaran berat 214g.
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen diberitahu bahawa pertuduhan menanam 17 pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara dihadapi penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, dikekalkan mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, berkata ia berdasarkan laporan kimia diperoleh pihak pendakwaan, petang semalam.

“Bagi kes ini, pertuduhan dikekalkan dan pihak kami memohon satu tarikh baharu untuk serahan dokumen kepada pihak pembelaan,” katanya semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat.

Peguam Ariff Azami Hussien, yang mewakili Yasin, 47, berkata pihaknya berterima kasih kepada pendakwaan kerana dapat menyiapkan laporan kimia itu dalam tempoh masa yang singkat dan memohon dua minggu untuk tarikh sebutan kes.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula kes.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Asnawi berkata, hasil laporan kimia itu mengesahkan 17 pokok itu adalah ganja.

Pelantun lagu “Mimpi Laila” itu didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis boleh diperoleh sama ada secara terus atau secara tidak langsung di kediamannya di Kondominium Casa Indah, Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara, di sini, pada 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Majistret Zhafran Rahim Hamzah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes bagi pertuduhan mengedar dadah dihadapi Yasin selepas Asnawi memaklumkan, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut mengenai laporan kimia berhubung kes itu (edar dadah) yang diperoleh semalam.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214g di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dijatuhkan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kelihatan isteri, dan anak perempuan Yasin berusia 14 tahun serta ahli keluarga penyanyi itu hadir ke mahkamah.

Sebelum masuk ke bilik mahkamah, Yasin yang memakai baju kemeja-T berwarna hitam dan berseluar putih sempat mengucapkan “Assalamualaikum” kepada pihak media dan mengucapkan takziah di atas pemergian penyanyi dan pelakon terkenal Adibah Noor Mohamed Omar serta rakan baiknya, Mujahid Abdul Wahab.

Sementara itu, seorang lagi peguam Yasin, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, memberitahu pemberita, anak guamnya memerlukan rawatan pakar untuk penyakit bipolar di hospital yang mempunyai rekod penyanyi itu.

“Saya difahamkan, sebelum ini Yasin sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh, namun ia bukan tempat yang sesuai. Lebih baik Yasin dapatkan rawatan pakar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Pantai Kuala Lumpur yang mempunyai rekod kesihatannya,” kata peguam itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.