Permohonan Willie sertai PBB perlu pandangan 3 ADUN, kata Abdul Karim

Permohonan Willie sertai PBB perlu pandangan 3 ADUN, kata Abdul Karim

Naib presiden PBB berkata tiga ADUN itu perlu berunding dengan pemimpin akar umbi seperti ketua masyarakat kaum Bidayuh di Parlimen Puncak Borneo.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pandangan daripada Roland Sagah Wee Inn (ADUN Tarat), Dr Jerip Susil (Mambong) dan Miro Simuh (Serembu) akan diambil kira sebelum memutuskan permohonan Willie Mongin.
LUNDU:
Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mendengar pandangan daripada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kawasan Parlimen Puncak Borneo, sebelum membuat apa-apa ketetapan berhubung permohonan Ahli Parlimen kawasan itu, Willie Mongin, untuk menyertai PBB.

Naib Presiden PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pandangan daripada Roland Sagah Wee Inn (ADUN Tarat), Dr Jerip Susil (Mambong) dan Miro Simuh (Serembu) akan diambil kira sebelum perkara itu diputuskan.

“Mereka (Majlis Tertinggi) juga perlu berunding dengan pemimpin akar umbi seperti ketua masyarakat kaum Bidayuh di kawasan itu,” katanya kepada media selepas melancarkan pertandingan Miss Tourism International Friendship Pathway.

Isnin lalu, Willie yang juga timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi dan menjadi ahli parti Bersatu, telah mengesahkan bahawa beliau telah menghantar permohonannya untuk menyertai PBB beberapa bulan lalu, dengan mendakwa bahawa selama ini beliau “secara teknikal” diletakkan dalam parti Bersatu bagi menyokong kerajaan semasa.

Willie memenangi kerusi parlimen Puncak Borneo pada pilihan raya umum ke-14 atas tiket PKR, namun diketepikan oleh parti itu selepas beliau bersama beberapa Ahli Parlimen PKR menarik balik sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan semasa peristiwa “Langkah Sheraton”, sebelum menyertai Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.