
Pada 23 Nov 2013, Sultan Ibrahim menitahkan pertukaran cuti minggu Johor kepada Jumaat dan Sabtu, berkuat kuasa 1 Jan 2014.
Keputusan itu dibuat selaras dengan negeri Johor yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi dan dibuat bagi memudahkan kaum lelaki yang beragama Islam menunaikan solat Jumaat dalam keadaan sempurna dan tidak tergesa-gesa.
Jafni yang juga pengerusi jawatankuasa perumahan dan kerajaan tempatan, berkata penukaran hari cuti itu juga tidak akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
Katanya, kerajaan negeri sedang mendapatkan maklum balas semua pihak berkepentingan berhubung isu tersebut.
“Di peringkat kerajaan negeri, perkara ini masih tidak ada sebarang keputusan lagi, cuma kita sedang kaji dan mendengar permintaan dalam kalangan rakyat dan pihak berkepentingan.
“Tetapi, buat masa ini belum ada apa-apa keputusan lagi kerana hakikatnya kajian menyeluruh perlu dibuat, perkara ini juga berkaitan dengan titah Tuanku, jadi sudah tentu perkenan Tuanku lebih utama. (Tetapi) bukan akan dilakukan dalam waktu terdekat lah,” katanya menurut laporan Kosmo.
Pada 14 Jun lalu, Menteri Besar Onn Hafiz memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan hari cuti hujung minggu negeri itu yang ketika ini ditetapkan, pada Jumaat dan Sabtu.
Beliau dilaporkan, berkata kajian itu akan dibuat susulan terdapat keluhan masyarakat berhubung perbezaan hari cuti sektor swasta dan kerajaan, selain bagi memastikan ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari sama.
Johor sebelum itu juga pernah menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu sebelum 1994.
Malah negeri lain, seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu turut mengamalkan cuti Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu.